Nadia Brian jelas hala tuju dalam kerjaya


Pelakon baru yang meningkat naik, Nadia Brian akui tidak mudah menempatkan diri dalam industri seni sementelah ramai bakat baru.

Selama lebih dua tahun bergelar pelakon, Nadia atau nama sebenarnya, Nadia Najwa Mohd Rashidi cuba guna peluang dengan sebaik mungkin.

Bagaimanapun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Akulah Balqis, arahan Erma Fatima ini menyifatkan dirinya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang hebat dalam industri.

“Ada orang anggap pelakon baru tidak boleh pilih, sebaliknya kena ambil saja apa juga tawaran untuk perkenal diri kepada umum dan pada masa sama jamin pendapatan.

“Tapi saya melihat ia sebaliknya dan merasa perlu untuk pilih tawaran untuk pastikan saya melakukan sesuatu yang berbaloi untuk tonjolkan kemampuan lakonan.

“Apabila bekerja dengan orang-orang seperti Erma Fatima, Shiela Rusly dan beberapa orang lagi, saya semakin jelas dengan apa yang saya lakukan kerana mereka ini adalah orang-orang serius dengan kerja mereka,” katanya jujur.


Tambah Nadia yang kini sedang dalam penggambaran drama Dekatkan Jarak Kita, terbitan JS Pictures milik Shiela Rusly dan suami, Jinggo ini dia sentiasa cuba ambil peluang belajar perbaiki lakonan menerusi team produksi berbeza.

Profesional dalam kerja

Meskipun memberi dedikasi sepenuhnya terhadap bidang lakonan yang cukup diminati, Nadia bagaimanapun akui mempunyai batasan sendiri dalam menentukan tahap keberanian dalam menjayakan satu-satu watak.

Penampilan dalam filem terbaru, Blok 404 dikatakan agak berani apabila terlibat babak panas yang menyaksikan gandingan dengan pelakon Amar Asyraf.

“Saya tidak mahulah katakan saya buat sesuatu semata-mata kerana memenuhi tuntutan watak, tetapi apa yang ingin saya jelaskan, sebagai seorang pelakon kita sendiri boleh nilaikan apakah sesuatu itu perlu atau tidak untuk dilakukan.

“Kalau dah tahu sesuatu babak itu berlebihan dan mungkin tidak akan lepas untuk tayangan, kenapa pula kita nak buat benda yang sia-sia?

“Saya profesional dalam kerja saya, namun apa pun yang dilakukan harus ada tujuan yang jelas dan bukanlah dilakukan hanya untuk suka-suka atau menarik perhatian orang,” tegasnya.

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Perlis ini juga memberitahu, penglibatannya dalam lakonan pentas juga banyak membentuk hala tujunya sebagai pelakon.

“Walaupun aktif dengan drama, saya sebenarnya sentiasa cuba cari peluang berlakon teater sekurang-kurangnya dua pementasan dalam setahun,” katanya yang pernah tampil menerusi teater Mak Cun, Bawang Putih Bawang Merah dan Bikers Kental.

Pengacara program fesyen

Selain lakonan, Nadia juga kini berjinak-jinak dalam pengacaraan apabila muncul kendalikan program Jom Fesyen untuk siaran HyppTV.

Dia yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Masa dari Universiti Teknologi Mara ini ternyata begitu teruja dengan peluang yang diberikan kerana menyifatkan bidang fesyen begitu dekat dengan minat dan kecenderungannya.


“Peluang buat program ini seperti mengubat rindu saya pada zaman belajar dulu di mana kami banyak diberi pendedahan bagaimana untuk bekerja dalam bidang ini.

“Apatah lagi ia merupakan program berkaitan fesyen dan ia tentunya memberi saya lebih keseronokan untuk meneroka sesuatu yang saya sendiri minat,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post