Zalfa Zin rasa diri kecil


Zalfa Zin bakal muncul menerusi dua filem iaitu Kampung Drift dan Sayu Yang Syukur di samping Aaron Aziz.

Sedar perjalanan untuk menjadi seorang pelakon itu bukan mudah, ibarat menunggu sinar di sebalik mendung, namun pendatang baharu, Norzafifah Mohd. Zin atau lebih mesra disapa Zalfa Zin mengharap sinar dan perhatian daripada khalayak untuk menilai bakat yang ada dalam dirinya.

“Memang agak sukar untuk menonjol dalam industri lakonan kerana terlalu ramai artis baharu yang ada. Jadi, sebagai pelakon baharu saya kena bijak mencari peluang. Paling penting, setinggi mana pun kejayaan kita nanti, jangan lupa asal usul,” ujar Zalfa Zin ketika ditemui selepas majlis pratonton filem lakonannya iaitu Kampung Drift di Cathay Cineplex Damansara baru-baru ini.

Biar bakat baharu yang ada ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu sentiasa menanam perkataan cekal dalam diri demi meneruskan langkahnya dalam bidang seni.

“Saya baru dua tahun dalam industri ini. Jadi, saya masih belajar dan akan terus mengutip pengalaman untuk terus kekal dalam lakonan.

“Saya masih tidak yakin untuk meletakkan diri sebagai seorang artis sebab bagi saya masih jauh perjalanan dan tempoh bagi menjadi seorang pelakon yang berjaya dalam semua aspek,” jelasnya yang mengaku berpegang pada prinsip bakat harus bergerak seiring dengan kualiti dan kuantiti.

Menyingkap bagaimana Zalfa Zin terlibat dalam bidang lakonan, pelakon berusia 23 tahun itu memberitahu, dia terserempak dengan orang agensi lakonan dan dengan beraninya menyapa individu tersebut.


Menerusi agensi lakonan, Zalfa Zin mencuba nasib dalam bidang itu sejak dua tahun lalu.

“Kebetulan saya terserempak dengan orang agensi yang sering mengambil pelakon tambahan dua tahun lalu. Saya kenal dia menerusi sebuah rancangan di televisyen. Selepas menegurnya dan memberitahu minat saya dalam bidang lakonan, saya diterima sebagai pelakon tambahan di dalam drama dan filem sehingga sekarang,” ujar Zalfa Zin yang terbaharu memegang watak sebagai pemilik trek pelumba drift bernama Sheila dalam filem Kampung Drift.

Walaupun watak sebagai Sheila tidak banyak, namun Zalfa Zin menyifatkan peluang berlakon di samping dua pelakon berbakat iaitu Pekin Ibrahim dan juga Syafie Naswip sesuatu yang berharga baginya.

Malah, Kampung Drift itu juga merupakan filem kedua Zalfa Zin selepas membintangi filem Sayu Yang Syukur (SYS), arahan Aaron Aziz.

“Saya menjalani penggambaran filem Sayu Yang Syukur dulu dan kemudiannya barulah Kampung Drift. Namun filem arahan Nevin itu yang akan keluar dulu. Bagi saya peluang berlakon di samping Pekin dan Syafie yang banyak pengalaman itu membuatkan diri saya berasa sangat kecil. Bagaimanapun, saya senang bekerjasama dengan mereka dan banyak juga ilmu yang diperoleh,” katanya mengenai filem Kampung Drift yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 4 Ogos itu.

Selain Kampung Drift, lakonan Zalfa Zin juga kini boleh dilihat menerusi drama Assalamualaikum Cinta pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam di Astro Ria & Ria HD.

“Saya juga akan muncul menerusi drama telenovela sebanyak 100 episod yang berjudul Lara Aishah dan juga drama Sayangku Kapten Mukriz untuk slot Akasia,” ujarnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post