Sissy Imann Seimbang cabang seni

REZEKI dalam bidang seni tidak hanya terhad dalam satu cabang kerana ia satu cabang yang luas.

Memandangkan banyak kerja nyanyian tidak dapat dijalankan akibat kekangan situasi pandemik Covid-19, penyanyi, Sissy Imann bersyukur kerana khidmatnya sebagai anak seni dapat juga dicurahkan dalam bidang pengacaraan.

Namun, walaupun rezeki dalam bidang pengacaraan mencurah-curah buat Sissy, turut timbul rasa gusar andai kata namanya dilupakan sebagai penyanyi.

"Sebenarnya saya takut juga kalau-kalau orang lupa saya penyanyi kerana banyak melihat saya sebagai pengacara.

"Oleh itu, setiap kali diundang untuk mengacara, saya akan selitkan nyanyian kerana itu adalah bakat yang memulakan langkah saya dalam bidang seni," katanya.

Berkongsi mengenai pengalamannya, Sissy berkata, ada juga penganjur atau penerbit yang menjemputnya sebagai pengacara, tidak memandang kemampuan nyanyiannya.

"Ada yang jemput saya untuk mengacara dan menganggap saya akan mengacara sepenuhnya. Jadi, saya akan berbincang dengan mereka, maklumkan kepada mereka bahawa saya adalah penyanyi juga pada masa sama.

"Alhamdulillah, kebanyakan mereka faham dan saya dapat seimbangkan antara kedua-duanya. Kalau ada perkara tak kena, pihak produksi tegur dan saya akan betulkan," katanya.

Kini, Sissy bertugas sebagai pengacara dalam rancangan HLive di saluran Astro.

"Sebagai pengacara HLive, saya baharu saja memulakan tugas beberapa bulan lalu. Saya bersiaran lapan kali dalam sebulan," katanya.

Berkongsi mengenai karier muziknya, Sissy sebelum ini menyiapkan single baharu yang dilancarkan tidak lama lagi.

"Insya-Allah, single baharu saya akan dilancarkan tidak lama lagi. Kali ini saya bekerjasama dengan Omar K dan Firdaus Rahmat.

"Sebelum ini juga, saya pernah bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pemuzik undangan untuk lagu Anakanda yang dilancarkan baru-baru ini," katanya.

Ditanya sama ada dia menyimpan impian untuk menghasilkan lagu buat penyanyi nombor satu negara itu, Sissy tidak menolak.

"Waktu saya berpeluang untuk bermain piano dalam lagu itu pun saya dah cukup berbesar hati. Kalau ada rezeki dan peluang untuk hasilkan lagu untuknya, tentunya saya tidak akan menolak.

"Sejujurnya, itu menjadi salah satu impian saya," katanya.

Yang pasti, Sissy mengharapkan peminat terus menyokong karier seninya.

Post a Comment

Previous Post Next Post