Nourul Wahab Depp berhijrah sebab merajuk?

Hantaran dimuat naik penyanyi, Nourul Wahab Depp, 44, menerusi laman Instagram (IG) mengenai hasrat untuk berhijrah ke luar negara pada bulan lalu nyata mengejutkan ramai pihak terutama peminat.

Mana tidaknya, tanpa angin, tanpa ribut tiba-tiba penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Kerana Terluka ini mengumumkan berita yang dianggap sebagai keputusan drastik.

Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi mengenai hasrat Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab mengaitkan kononnya berbuat demikian disebabkan merajuk dengan individu tertentu termasuk industri hiburan.

Enggan berteka-teki, Nourul berkata, hasrat berpindah ke luar negara sudah lama difikirkan sebelum mendirikan rumah tangga dengan Eric Depp lagi. Cuma, belum ada kekuatan berbuat demikian disebabkan faktor mental dan kewangan.

"Namun, selepas Eric menyatakan keinginan membawa kami sekeluarga berhijrah, saya lantas bersetuju. Jika tiada aral melintang, kami akan berhijrah pada Julai depan. Negara mana? Saya belum bersedia mendedahkannya atas permintaan suami. Tunggulah semua urusan selesai dan tiba masa untuk kami berangkat, akan saya mengumumkan.

"Setakat ini, persiapan sudah 70 peratus. Masih dalam proses mengemas, manakala permohonan mendapatkan visa sudah dibuat. Urusan persekolahan anak-anak di luar negara juga sudah selesai. Kami bersyukur hasrat menempatkan mereka di sekolah pilihan tercapai.

"Jujurnya, saya takut berdepan dengan situasi baharu ini. Jadi, persiapan dari psikologi sangat perlu. Anak-anak pula teruja mahu pergi ke tempat baharu," katanya kepada BH Online.

Mengulas dakwaan penghijrahan dibuat disebabkan merajuk dengan industri hiburan, Nourul berkata, sepatutnya isu berkenaan timbul sejak 2010 lagi jika merajuk dengan industri.

"Waktu itu, saya memang merajuk. Seperti dikatakan, hasrat berhijrah disuarakan Eric. Suami merancang berhijrah ke luar negara pada usia 55 tahun. Pada usia itu, agak mudah untuk mendapatkan visa.

"Secara kebetulan, kami mahu mencari pengalaman baharu. Dari sudut kewangan dan pekerjaan sudah stabil, jadi kami teruskan niat ini. Memandangkan, kami menjalankan perniagaan secara atas talian, jadi tidak timbul masalah untuk menguruskan bisnes di mana juga berada," katanya.

Nourul berkata, dia akan berjauhan dengan anak sulung, Ayu Nazirah. Namun, berdasarkan persetujuan dibuat, Ayu akan berulang-alik.

"Sebulan bersama kami, sebulan bersama bapanya, Ajai di Kuala Lumpur. Jadi, soal rindu tidak timbul kerana Ayu juga rakan kongsi perniagaan, jadi kami akan sentiasa berurusan.

"Saya tidak risau kerana Ayu akan menetap dengan seorang kakitangan yang dianggap seperti keluarga di Kuala Lumpur.

"Walaupun jauh di rantau orang, tidak bermakna saya mahu lupakan terus bidang nyanyian. Saya tetap akan menyanyi," katanya.

Menjawab pertanyaan adakah berkemungkinan menetap dan memohon kerakyatan tetap, Nourul berkata, mana mungkin melupakan negara tercinta.

"Saya tidak terfikir sampai tahap mahu menukar kerakyatan. Malaysia tetap di hati. Saya anak Malaysia, saudara mara juga ramai di sini.

"Saya berhijrah kerana mahu mencari pengalaman. Walaupun ada ketikanya saya terkilan dengan sikap netizen yang tidak henti mengecam hanya kerana saya belum bertudung, namun itu semua belum mampu membuatkan saya membawa diri untuk meninggalkan Malaysia buat selama-lamanya," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post