TIDAK disangkal, muzik memiliki magisnya tersendiri untuk mengubah kehidupan seseorang. Demikian juga berlaku dalam diri bakat baharu, Killa Driz yang mendedahkan muzik rap berjaya menyelamatkan hidupnya.
Killa Driz, 22, mengakui muzik saluran utamanya untuk mengekspresikan perasaan selepas ditimpa pelbagai pengalaman pahit sebelum ini. Oleh itu, pada usia 15 tahun, dia memulakan perjalanan menghasilkan karya lagu rap.
Mengimbau kembali kisah lalunya, anak jati Petaling Jaya, Selangor ini berkongsi kisahnya pernah menjadi mangsa buli ketika di sekolah rendah. Paling menyedihkan, dia tiada tempat untuk meluah kesedihan dirasainya.
"Ketika menjadi mangsa buli, saya pernah kena cekik sewaktu berada di tahun tiga. Saya tiada kawan baik untuk meluahkan kesedihan itu dan turut menjadi mangsa perkauman hanya kerana saya campuran Cina dan Melayu," katanya.
Bertitik tolak dari situlah Killa Driz menemui cahaya terang untuk hidupnya menerusi muzik. Dia menjadikan lagunya sebagai saluran untuk meluahkan apa yang terbuku dan mencengkam di hati.
Sewaktu di tingkatan tiga, fokusnya bertukar lebih serius dalam menghasilkan lagu sendiri sekali gus terus memulakan karier muziknya. Dia perlahan-lahan mencipta nama dalam lapangan muzik indie dan menerima pelbagai tawaran persembahan.
Bagaimanapun, dugaan buatnya tidak terhenti di situ sahaja. Pada ketika makin seronok berkarya dan menyanyi, dia tidak terlepas menjadi mangsa dianiaya penganjur yang menawarkannya membuat persembahan.
Menurut Killa Driz, pengalaman itu semestinya memberi kesan mendalam buatnya kerana bakat serta usaha dilakukan seperti tidak dihargai. Pengalaman tidak mendapat sesen pun bayaran daripada persembahan, pernah berlaku depan matanya sendiri.
"Beberapa tahun lalu, saya mendapat undangan persembahan untuk acara kolej. Meskipun penganjur maklumkan ia sebuah persembahan tak berbayar, saya tetap seronok kerana sebagai pendedahan kepada muzik saya.
"Namun, rupanya saya ditipu apabila artis lain yang membuat persembahan dibayar pula. Saya sendiri melihat depan mata, mereka menerima bayaran masing-masing tapi, saya tak dapat sesen pun," katanya.
Oleh itu, dia menanam azam yang kuat dalam hati untuk bangkit daripada kepahitan itu dan bersungguh-sungguh mencipta nama sebagai penyanyi seperti sekarang. Baginya, terlalu banyak hal perlu dibuktikan dahulu terutama bakat sebagai penulis lagu.
Menjadikan penyanyi rap tersohor SonaOne sebagai inspirasi utamanya, Killa Driz ada misi tersendiri dalam industri muzik tempatan. Dia tidak mahu sekadar dikenali sebagai penyanyi semata-mata, sebaliknya ingin memartabatkan budaya hip hop itu sendiri.
"Buat masa sekarang, saya memang akan membuat penjenamaan diri sebagai penyanyi dan penulis lagu. Hala tuju muzik saya lebih kepada karya seperti SonaOne selain menggabungkan perisa produk daripada penyanyi senior lain.
"Selepas tujuh tahun menjadi artis indie, inilah masa tepat untuk saya majukan diri terus ke hadapan. Selain memfokuskan karya sendiri, saya juga ada bekerjasama dengan rakan baik, Ismail Izzani untuk hasilkan EP yang bakal dilancarkan tahun ini," katanya.
Sebagai pertaruhannya untuk menembusi pasaran arus perdana, Killa Driz baru melancarkan 'lagu pengenalan' berjudul Siapa Tahu pada 19 Mac lalu.
Menurutnya, intipati lagu itu tidak lain berkisar pada pengalaman pahit dilaluinya.