Sean Lee idam isteri utamakan keluarga

Pengacara dan pelakon yang semakin mencipta nama, Sean Lee, 27, bersikap terbuka mengenai kriteria wanita idaman yang ingin dijadikannya teman hidupnya suatu hari nanti.

Sean berkata, walaupun soal jodoh perkara yang tidak boleh dijangka, namun dia inginkan wanita yang baik dengan keluarga dan mengutamakannya.

"Kalau soal jodoh atau cinta, saya tidak akan berselindung. Cuma, sekarang saya masih lagi sendiri dan belum menemui cinta baru selepas terkandas dalam perhubungan sebelum ini.

"Apapun, saya inginkan pasangan yang jujur, ikhlas dan paling penting dia baik dengan keluarga. Bagi saya, sikap berkeluarga untuk wanita sangat penting. Ini kerana, selepas berkahwin sudah pasti saya juga ingin mempunyai keluarga sendiri. Jadi, wanita yang baik dan sayangkan keluarga adalah penting untuk saya miliki," katanya.

Sean berkata, dia percaya akan menamatkan zaman bujangnya apabila masa itu tiba dan yakin calon untuknya akan datang juga pada ketika itu.

"Apa yang pasti, hubungan cinta saya takkan berlaku atas paksaan. Bagi saya, perasaan cinta pada seseorang itu tidak boleh dipaksa-paksa jika ingin segalanya lancar.

"Saya dapati perjalanan cinta akan jadi susah kalau kita paksa-paksa. Ia perasaan yang tidak asli terhadap pasangan sekiranya cinta itu dipaksa," katanya.

Ditanya juga mengenai gangguan peminat wanita yang mengajaknya berkahwin, Sean tidak menafikan. Bagaimanapun, dia tidak ambil serius kerana menganggap ia gurauan semata-mata.

"Setakat ini, kalau gangguan peminat ajak saya berkahwin itu, ia hanya sekadar mereka bergurau dan hiburan saja. Saya tak rasa ia suatu perkara yang serius.

"Lagipun, mereka juga tidak keterlaluan seperti datang ke rumah atau hantar surat dan sebagainya. Buat masa ini, saya melihat mereka masih stabil," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post