Neelofa, suami beri keterangan esok

Selebriti terkenal, Neelofa dan suaminya, akan dipanggil memberi keterangan esok, berhubung dakwaan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahan mereka, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihaknya akan turut memanggil keluarga dan penganjur majlis untuk memberi keterangan esok.

"Penganjur majlis sepatutnya hadir memberi keterangan hari ini tetapi ditangguhkan esok.

"Justeru, pihak penganjur bersama keluarga Neelofa akan hadir memberi keterangan bersama Neelofa dan suaminya," katanya kepada BH, hari ini.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan beberapa saksi berhubung perkara itu termasuk pengurus hotel lokasi majlis pernikahan pasangan terbabit.

Semalam, Mohamad Zainal memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan terhadap majlis perkahwinan Neelofa yang juga pengacara dan usahawan terkenal.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, kelmarin.

Isu pelanggaran SOP pada majlis berkenaan timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Post a Comment

Previous Post Next Post