Bukan tidak pernah membawa watak wanita berhijab, namun, penangan karakter Nurul Huda dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa, sungguh mencabar Marsha Milan.
Marsha mengaku sukar membawa watak antagonis dalam karakter Nurul Huda yang memiliki sisi gelap di sebalik kesopanan dan keayuannya.
"Watak bertudung kali ini sangat mendebarkan. Nurul tampak ayu, ibarat pijak semut pun tak mati... Tutur kata sopan dan lembut.
"Daripada segi tingkah laku, Nurul bukan jahat atau kurang ajar. Namun, sisi jahat ditonjolkan daripada riak muka dan pembawaan diri.
"Jadi, saya menanti dalam debaran reaksi penonton terhadap lakonan saya. Andai dikecam, saya harap watak ini sampai ke hati mereka," katanya kepada BH Online.
Drama Rindu Awak Separuh Nyawa yang diadaptasikan daripada novel nukilan Siti Rosmizah dengan judul sama, disiarkan slot Megadrama di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.
Selain Marsha, drama arahan Along Kamaludin turut dibintangi Shukri Yahaya, Aida Khalidah, Uqasha Senrose, Noorkhiriah dan ramai lagi.
Drama ini turut menampilkan lagu istimewa bertajuk Rindu Separuh Nyawa nyanyian Vanessa Reynauld dan Naqiu sebagai runut bunyi.
Mengaku dirinya 'hyper', Marsha sukar mengekalkan kemasan tudung sepanjang berada di lokasi penggambaran.
"Akhirnya kedudukan tudung jadi senget atau jatuh. Mungkin saya belum berhijab, jadi agak sukar membiasakan diri untuk tampak kemas sentiasa," katanya.