BAGI persiapan masa hadapan dan tanpa mahu berharap sepenuhnya dengan pendapatan sebagai penyanyi dan pelakon, Aiman Tino memberanikan diri menceburi bidang perniagaan makanan.
Pembukaan cawangan kedua kedai Char Kuey Teow di Masok Food Court Kg Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan Aiman, 23, atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri bukan mahu main-main.
Disebabkan itu, Aiman yang mencipta nama menerusi lagu Ku Rela Dibenci mengakui menggunakan sepenuhnya wang simpanan yang ada sebagai modal dan pelaburan dalam bisnes itu.
"Dalam berniaga ini perlukan modal besar. Jadi saya terpaksa gunakan wang simpanan untuk melabur bagi memulakan perniagaan ini. Orang kata saya buat dan tawakal saja. Tapi, jangan main-main. Perniagaan ini saya nampak sesuatu yang besar, sasaran saya pun besar.
"Jadi, saya keluarkan simpanan yang ada. Bukan nak kata banyak duit, tapi adalah simpanan sebelum ini. Alhamdulillah, saya beringat juga untuk menyimpan sejak mula menyanyi. Kalau tidak menyimpan, tak tahu lah boleh buat bisnes macam sekarang atau tak," katanya yang turut bekerjasama dengan rakan kongsi.
Menurut Aiman, selepas membuka cawangan pertama di AEON Wangsa Maju dan di Kampung Baru, Aiman bakal membuka di beberapa lokasi lain pula.
"Bisnes ini adalah 'back up' saya. Diakui saya memang minat dalam bidang ini, tapi masih belajar untuk uruskan perniagaan sebab bukan senang. Banyak perkara lagi saya perlu lakukan untuk majukan diri.
"Namun, dalam kerjaya saya masih menyanyi dan berlakon. Tiada masalah untuk buat semua dalam satu masa," katanya.
Mengenai kerjaya nyanyian yang dilihat semakin sepi, Aiman berkata, dia masih menunggu 'green light' dari syarikat rakaman untuk melancarkan single terbaharu.
Malah, beberapa single terdahulu juga dilihat gagal mengembalikan populariti seperti di awal kemunculan.
"Lagu sudah siap dirakam. Cuma saya baru tanya bos di syarikat rakaman, Aries Music, tapi gubahan lagu dan muzik tak siap lagi. Ada masalah sikit dengan studio. Nanti kalau sudah siap semuanya baharu akan dilancarkan.
"Saya bukan berehat dari bidang nyanyian, tapi lagu tak keluar lagi. Macam dikatakan tadi, saya akan terus menyanyi.
"Insya-Allah, lagu baharu ini juga bergenre sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini. Sebab apa yang saya perasan dan syarikat nampak, peminat saya suka lagu macam ini. Jadi, saya masih mengekalkan 'mood' dan genre 90-an," katanya.
Dalam masa sama, Aiman turut terbabit dalam penggambaran drama Kampung Kolestrol lakonan bersama Sufian Suhaimi, Ziana Zain dan Mas Idayu.
Menerusi drama itu, Aiman sekali lagi melakonkan watak komedi seperti watak sebelum ini.
"Genre komedi ini sebenarnya sudah macam identiti lakonan saya juga. Sejujurnya saya suka cerita yang kelakar. Tapi, kerja ini bukan saya pilih sebab saya dapat tawaran.
"Mungkin orang nampak saya sesuai cerita macam ini. Tapi, kalau diberi peluang untuk melakonkan watak lain iaitu watak berat, tak ada masalah untuk cuba. Saya minat semua," katanya.