Selepas lebih lima tahun berganding dengan rakan duo, Khai, penyanyi Dinie Rashid janggal beraksi solo.
Biarpun melakukan eksperimen bergerak solo sejak tahun lalu, namun, bukanlah bermaksud dia mahu meninggalkan Khai.
Dinie atau nama sebenar, Muhammad Dinie Abdul Rashid menolak dakwaan konon mengetepikan Khai.
"Saya janggal beraksi tanpa dia (Khai). Kebiasaannya, kalau gementar atau takut di pentas, saya pandang ke arahnya.
"Khai yang memberi semangat kepada saya. Agak pelik dia tiada di sisi. Cuma kerana mahu mencuba nasib, saya tampil solo," katanya yang pernah menyertai program realiti, Big Stage 2020.
Tambah jejaka berusia 29 tahun kelahiran Pulau Pinang ini, dia dan Khai tiada masalah, sebaliknya, masing-masing ada haluan sendiri.
"Tiada istilah kami berpisah atau bersengketa. Kalau ada rezeki projek bersama, saya akan teruskan.
"Seperti penyertaan saya di Big Stage, tahun lalu, kami sama-sama berbincang.
"Kami setuju cari rezeki dan rebut peluang depan mata. Khai pula lebih terarah kepada bermain gitar dan saya menyanyi," katanya.
Dinie yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikutan mengalami 'molecular dystrophy' hingga mengakibatkan saraf pada bahagian mata rosak, baru-baru ini melancarkan single solo kedua berjudul Cinta Di Paras Bahaya ciptaan Ajai.
"Ini percubaan kedua saya sebagai penyanyi solo. Sebelum ini, saya tampil dengan dua single menampilkan aksi Khai bermain gitar iaitu single Bukan Cinta Aku dan Tanpamu.
"Mendendangkan karya Ajai membuatkan saya gementar. Ajai mencipta banyak lagu hit untuk penyanyi tempatan," katanya.
Dalam perkembangan sama, artis naungan Laugh Out Loud Entertainment ini menjelaskan lirik single Cinta Di Paras Bahaya tiada kaitan dengannya.
"Lagu ini bersifat umum mengenai individu yang ingin cintanya dibalas. Cinta itu pada tahap kronik atau pada paras bahaya dengan harapan si dia menjadi lengkap," katanya.
Mengenai penularan COVID-19, Dinie berharap ada sinar menanti selepas semua pihak menerima kesan pandemik itu.
"Saya sendiri cuba mencari kelainan untuk meneruskan survival seni. Situasi ini menguji kesabaran kita sebagai hamba-Nya," katanya.