Gara-gara didakwa mempersenda anggota kumpulan K-Pop BLACKPINK iaitu Lisa Manoban dengan menulis Lisa BLACKPIG dalam hantaran di Instagram, pelakon terkenal Janna Nick diserang netizen dan peminat kumpulan itu sejak semalam.
Susulan itu, Janna membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan fitnah, ugutan dan komen keterlalaun.
"Saya ingin maklumkan laporan polis sudah dibuat berhubung perkara ini di mana siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis dan SKMM turut terbabit dalam mengenalpasti individu atau pesalah laku meskipun mereka cuba berlindung di sebalik nama dan akaun samaran.
"Saya dimaklumkan, dengan kemajuan teknologi yang digunakan dan maklumat daripada sistem data internet yang dikesan daripada alat peranti yang digunakan sama ada telefon pintar, komputer atau sebagainya, individu ini berjaya dikesan untuk tindakan lanjut akibat daripada tindakan jenayah, salah laku dan pelanggaran undang-undang yang mereka lakukan.
"Saya dimaklumkan terdapat juga kanak-kanak dan remaja dalam kalangan individu pesalah laku ini yang mana alat peranti dan sistem data internet yang digunakan mereka adalah direkodkan di bawah nama ibu bapa atau penjaga.
"Saya juga dimaklumkan pasukan penyiasatan termasuk peguam saya sedang dalam proses menyimpan segala rekod yang diterbitkan di Twitter, Instagram, Facebook dan semua media sosial yang memfitnah, membuat ugutan jenayah serta menyebarkan tohmahan dan 'hashtag' negatif membabitkan perkara ini untuk tindakan undang-undang yang akan mengakibatkan mereka disaman dan dihadapkan ke mahkamah kerana salah laku mereka adalah suatu kesalahan jenayah yang serius dan atau sudah mengakibatkan kerosakan termasuk menjejaskan reputasi dan nama baik saya dan Janna Nick Studios bukan sahaja di dalam Malaysia bahkan di luar negara," katanya.
Janna turut menafikan dia menggelar atau menyamakan Lisa Manoban dari kumpulan BLACKPINK sebagai Lisa BLACKPIG.
"Berkenaan tohmahan yang kononnya saya menyamakan atau menggelar Lisa Manoban sebagai 'Lisa BLACKPIG', ia adalah terpesong sama sekali. Sebagai seorang individu yang juga meminati budaya Koera, yang bukan setakat industri hiburan mereka bahkan budaya, fesyen, makanan, teknologi, kecantikan dan tempat di Korea, tohmahan sebegitu terhadap saya adalah sangat tidak berasas.
"Saya sendiri pernah berkolaborasi dengan pihak pengurusan serta artis Korea dalam kerjaya saya dan amat menghormati mereka. Ia adalah amat pelik dan tidak boleh diterima akal untuk saya menggelar atau menyamakan nama besar dalam industri seperti Lisa Manoban BLACKPINK dengan sebarang nama yang mengaibkan.
"Namun begitu, saya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, ugutan jenayah dan serangan peribadi daripada pesalah laku secara terang-terangan mahupun secara peribadi yang mana mereka turut menyebarkan 'hashtag' dan kata-kata kesat yang mengaibkan, menjatuhkan serta merosakkan nama baik saya serta Janna Nick Studios bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara," katanya.
Dalam masa sama, Janna sekali lagi menjelaskan dia tidak pernah sama sekali mempersenda kematian penyanyi Korea, Kim Jong-hyun pada 2018.
"Meskipun penjelasan sudah saya berikan menerusi hantaran video di IG, namun masih terdapat individu yang membuat kenyataan fitnah terhadap saya yang turut membabitkan keluarga saya apabila mengatakan saya mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun.
"Saya ulangi di sini, saya sama sekali tidak mempersendakan mana-mana individu apatah lagi mempersendakan mendiang Kim Jong-hyun menerusi video yang direkodkan dan dimuatnaik oleh Sharifah Sakinah pada 2018 yang kini dimuatnaik dan disensasikan semula di media sosial.
"Adalah amat kesal apabila individu yang mengeluarkan kata-kata kesat, fitnah dan ugutan jenayah terhadap saya memilih untuk menerima tafsiran video atau sebarang penulisan yang dirujuk dalam perkara ini hanya dari sudut pandangan mata sendiri meskipun perkara yang berlaku adalah berlainan sama sekali.
"Ini adalah amat dikesali apatah lagi, Sharifah Sakinah sendiri juga sudah menjelaskan perkara ini dan memohon maaf pada tahun sama dan saya juga sudah memberikan penjelasan di pihak saya. Walaupun hakikat perkara sebenar sama sekali tidak sebagaimana yang mereka tafsirkan, tetapi demi untuk tidak memanjangkan isu ini daripada berlarutan, saya juga sudah membuat pernyataan maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan perkara ini," katanya.