Pengacara Awal Ashaari berdepan tindakan saman lebih RM300,000 kerana didakwa melanggar kontrak dengan syarikat perabot dan hiasan dalaman, Naz Capentry.
Ia berikutan Awal dikatakan melanggar kontrak dengan memberhentikan syarikat terbabit dari terus membuat kerja pengubahsuaian dan memungkiri perjanjian dipersetujui kedua belah pihak.
Peguam utama Naz Capentry, Nurul Hafidzah Hassan berkata, ia saman sivil kedua difailkan anak guamnya terhadap pengacara terkenal itu.
"Anak guam berpendapat bahawa Awal tidak mempunyai hak undang-undang untuk mengakhiri kontrak pihak-pihak dan percaya bahawa anak guam berhak menuntut jumlah penuh kontrak akibat pelanggaran berkenaan," katanya.
Naz Capentry dalam samannya menuntut deklarasi bahawa Awal tidak layak menuntut pembayaran balik wang pendahuluan berjumlah RM100,000 yang sudah dibayar untuk syarikat memulakan kerja pengubahsuaian.
Menerusi tuntutan jumlah dibuat itu, Awal juga diminta Naz Capentry membayar baki untuk kerja-kerja pengubahsuaian yang sudah siap, pembayaran balik jumlah tajaan yang sepatutnya ditaja melalui pengiklanan dan promosi di media sosial, kos upah kerja tambahan, baki jumlah keseluruhan belum dijelaskan dan kos- kos lain.
Turut dituntut oleh Naz Capentry adalah ganti rugi teladan, kos tindakan dan lain-lain relif atau perintah yang dianggap manfaat oleh mahkamah.
Terdahulu, saman difailkan Naz Capentry di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melalui firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak, Advocates And Solicitors minggu lalu.
Sebelum ini, Naz Capentry pada 13 November tahun lalu mengemukakan saman berjumlah RM3 juta terhadap Awal kerana didakwa menjatuhkan imej, jenama dan reputasi syarikat serta pemilik syarikat terbabit di media sosial.