Sharifah Husna elak dituduh jual muka





Calon kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Sharifah Husna mahu membuktikan dirinya terjun dalam dunia lakonan bukan bersandar kepada rupa.

Berdarah kacukan Melayu, Pakistan, Afghanistan, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia, Husna, 27, enggan dilabel pelakon stereotaip yang sekadar 'menjual' wajah.

"Saya tidak mahu orang ramai melabelkan saya sebagai pelakon cantik tetapi tidak pandai berlakon... Saya mahu hapuskan stereotaip itu.

"Saya mahu membuktikan pelakon yang mempunyai rupa juga boleh menjadi artis versatil," katanya.

Pelakon berasal dari Subang Jaya, Selangor itu menyatakan pendiriannya ketika berkongsi maklum balas yang diterima daripada watak Dowena yang dilakonkan dalam drama Ryan Aralyn disiarkan TV3.

"Saya tidak sangka menerima banyak maklum balas positif daripada watak wanita psiko itu.

"Alhamdulillah, saya gembira apabila ramai yang mula nampak kehadiran dan kemampuan saya.

"Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencuba sesuatu yang berbeza dan mencabar pada masa hadapan," katanya.

Benar bagai dikata, Husna menerima tawaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melakonkan watak utama dalam drama aksi, Jefri Zain yang diarahkan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

"Ini menjadi drama aksi pertama dan saya sangat teruja untuk memulakan penggambarannya, Januari depan," katanya yang akan memulakan latihan tidak lama lagi.

Satu persatu kepercayaan diraih membuatkan Husna atau nama penuh, Sharifah Husna Syed Feizal mahu terus melakukan perkara yang dicintai iaitu berlakon dan berusaha memberikan hasil terbaik.

Apatah lagi, Husna menjadi antara 20 bakat baharu yang dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular pada edisi ke-33 ABPBH.

Husna berkata, dia tidak pernah menyangka namanya layak disenaraikan.

"Saya terkejut... Pada awalnya, saya tidak diri tercalon sehingga saya melihat Instagram Story (IG), Riena Diana.

"Dari situ, baru saya sedar diri ini tercalon. Saya rasa dihargai apabila orang ramai nampak kehadiran saya.

"Berada dalam kelompok 20 nama ini sudah cukup membuatkan saya bersyukur, apatah lagi kalau menang.

"Bagaimanapun, saya mengharapkan yang terbaik. Tidak kisah menang atau kalah, itu semua adat pertandingan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post