Selamatkah deodoran yang anda pakai?





Pernahkah anda merasa bawah lengan gatal selepas memakai deodoran atau produk anti peluh? Awas, mungkin anda alergi pada deodoran tersebut atau mungkin ia mengandungi bahan kimia di dalamnya. Adakah deodoran anda selamat untuk dipakai?

Ada di antara kita yang suka memakai deodoran, tanpanya mungkin mereka merasa kurang selesa dan tidak yakin. Selalunya, sebotol deodoran mengandungi gabungan deodoran dan juga bahan anti peluh (antiperspirant).

Seperti sabun mandi, syampu dan juga bahan kosmetik lain, produk deodoran dan anti peluh juga mengandungi bahan kimia yang mungkin asing bagi kita. Kemungkinan, bahan kimia ini boleh menyebabkan kegatalan di bawah lengan anda.

Jika anda sering merasa gatal-gatal, sakit dan kemerahan pada bawah lengan, anda mungkin mengalami alergi pada produk tersebut.

Alahan yang disebabkan oleh bahan kimia yang bersentuhan dengan kulit dinamakan alahan dermatitis sentuh (contact dermatitis).

Penyakit ini tidak berjangkit atau mengancam nyawa, tetapi akan menyebabkan penghidapnya merasa tidak selesa.

Cuba periksa kulit di bahagian bawah lengan anda. Reaksi alergi yang biasa terhadap deodoran ialah:

Kulit menjadi kemerahan
Rasa sakit dan pedih
Kulit jadi berkuping dan naik ruam
Rasa gatal-gatal yang amat sangat
Timbul ketulan pada permukaan bawah lengan



Kadang-kala, alergi terhadap deodoran dan anti peluh tidak akan berlaku serta-merta. Anda mungkin mendapat simptom setelah berbulan-bulan menggunakan deodoran yang sama. Ini adalah kerana produk sebegini selalunya akan melalui proses pengubahsuaian serta penambahbaikan dan alergen tersebut baru ditambah ke dalam formulasi.

Terdapat tiga bahan yang sering membuatkan kulit anda merasa merengsa ialah pewangi, aluminium, dan juga bahan pengawet seperti paraben.

1. Pewangi

Pewangi merupakan bahan yang selalu menjadi punca alergi. Sebuah kajian yang dijalankan dalam kalangan pesakit ekzema, 1 daripada 4 orang yang mempunyai alergi kepada pewangi mendapat tindak balas alergi ketika memakai deodoran.

Namun, keradangan mereka beransur pulih setelah bertukar menggunakan produk deodoran dan anti peluh yang tidak mempunyai sebarang kandungan pewangi.

2. Aluminium

Aluminium ataupun garam aluminium merupakan bahan yang digunakan secara meluas dalam produk kosmetik. Dalam deodoran, bahan inilah yang menyekat anda daripada berpeluh

Ada individu yang melaporkan mengalami dermatitis sentuh selepas memakai produk yang mengandungi garam aluminium, namun bilangannya amatlah sedikit. Bahan ini juga boleh membuatkan bawah lengan anda menjadi bengkak dan sakit.

3. Paraben

Paraben pula ialah bahan yang digunakan di dalam kosmetik untuk mengelak pertumbuhan kuman, fungi dan yis di dalam deodoran. Walau bagaimanapun, banyak produk yang tidak lagi menggunakan paraben daripada formulasi kerana kebimbangan pengguna mengenai paraben yang mungkin boleh mengakibatkan kanser.

Tetapi, American Cancer Society menafikan bahawa paraben boleh mengakibatkan kanser. Malah, masih tidak ada bukti yang konkrit sehingga ke hari ini yang dapat mengaitkan paraben dengan risiko kanser.

Jika simptom gatal-gatal itu berkekalan, berjumpalah dengan doktor anda untuk rawatan lanjut. Doktor anda boleh melakukan patch test untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan anda mengalami tindak balas alergi.

Post a Comment

Previous Post Next Post