Nabil Ahmad Bagaikan mimpi





Asalnya dirinya hanya budak kampung bertubuh kurus-kering yang hidup serba sederhana. Ditemani motosikal cabuk sebagai 'mat despatch', siapa sangka kehidupan pelawak dan pengacara, Ahmad Nabil Ahmad, 37, berubah dalam sekelip mata selepas diangkat sebagai juara program Raja Lawak musim kedua.

Selepas enam bulan memenangi program realiti yang mempertaruhkan bakat dalam dunia lawak, graf populariti anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu semakin mencanak apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2008.

Bukan itu sahaja, pengacara program MeleTOP dan Gegar Vaganza itu turut menggondol tiga lagi trofi iaitu Artis Baru Lelaki Popular, manakala dua kali diangkat Artis Komedi Lelaki Popular.

Sekadar berbekal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak ketiga daripada tujuh beradik itu mampu membina nama dan kredibiliti tersendiri. Reputasi cemerlang selama sebelas tahun membina nama dan populariti membawa Nabil terbang tinggi.

Setiap kali mengenangkan semula kenangan manis lebih sedekad lalu, bapa kepada tiga cahaya itu menyifatkan malam kemuncak berprestij dari Arena Of Stars, Genting Highlands itu umpama mimpi dalam mimpi.

"Bayangkan, saya baru enam bulan menyertai industri hiburan ketika itu. Saya masih samar lagi mengenai status seorang selebriti. Saya juga masih kurang jelas mengenai pencalonan dan mekanisme pengundian sama ada nama saya dicalonkan atau tidak?

"Siapa tak terkejut, kali pertama menghadiri anugerah berprestij, nama saya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular. Perasaan bercampur baur antara tak percaya, terkejut dan terkena kejutan budaya apabila pendatang baharu seperti saya diumumkan sebagai pemenang anugerah tertinggi.

"Artis mana pun berada di tempat saya pasti terkejut apabila mampu berdiri sebaris nama hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rosyam Nor, Saiful Apek dan Mawi, sedangkan mereka jauh lebih hebat daripada saya. Terbit juga pertanyaan dalam diri apa yang membolehkan saya berdiri sebaris mereka?" imbau Nabil ketika menceritakan detik kemenangan dalam ABPBH.

Nabil berkata, kemenangan besar menerusi ABPBH 2008 banyak mengubah kehidupannya. Tidak menolak, apa yang dimiliki sekarang bersangkut paut dengan gelaran Bintang Paling Popular yang dimenangi.

Katanya, namanya mula menjadi perhatian pelbagai syarikat dan produk yang ingin menggunakan khidmatnya untuk pelbagai tujuan hingga dirinya merasakan apa yang diraihnya terlalu cepat dan dahsyat.

"Apa yang terjadi, saya merasakan seperti sesuatu yang dahsyat untuk artis baharu seperti saya. Kisah kemenangan saya mendapat liputan besar-besaran di kaca televisyen, surat khabar dan majalah pada ketika itu.

"Saya ingat lagi, seluruh perhatian diberikan kepada saya dan kemenangan pula diperkatakan dalam tempoh lama hingga ramai yang ingin menggunakan khidmat saya untuk pelbagai tujuan. Tidak dinafikan, siapa saya pada hari ini juga disebabkan kemenangan saya dalam ABPBH," katanya.

Pelakon filem Romeo Kota dan Pontianak vs Orang Minyak itu berkata, apa yang membuatkannya terharu dirinya tidak mempunyai kelab peminat dan pemilihan yang dibuat disifatkan sebagai sesuatu yang asli.

"Pada zaman itu, saya tidak ada kelab peminat dan tidak ada undian secara atas talian. Sistem undian pada hanya melalui surat khabar, jadi siapa tidak terharu dan bangga kerana peminat sanggup membeli surat khabar semata-mata untuk mengundi saya. Berbeza dengan kaedah hari ini, cara pengundian lebih mudah.

"Saya sebak apabila apabila mengenangkan semula kesungguhan yang ditunjukkan peminat. Zaman dahulu mana ada media sosial untuk membantu berkempen. Selebriti memang menyerahkan kemenangan bulat-bulat ke tangan peminat. Jadi, kami tidak mampu meramal atau membayangkan siapa bakal menang kerana sistem undian sangat berbeza," katanya.

Selepas mengungguli tiga kemenangan pada ABPBH 2008, Nabil sekali lagi mengulangi kejayaan yang sama apabila mempertahankan kemenangannya bagi kategori Artis Komedi Lelaki Popular pada ABPBH 2009.

Malangnya, gelaran Bintang Paling Popular dirampas semula oleh Siti Nurhaliza. Namun, tiada sekelumit pun timbul rasa terkilan di hatinya, sebaliknya berpeluang menggenggam trofi sekali seumur hidup sudah memadai.

"Saya tak terkilan atau sibuk merangka strategi untuk mempertahankan trofi. Bagi saya, menggenggam sekali pun cukuplah, takkanlah asyik muka saya sahaja setiap tahun menang.

"Tiada apa yang dilakukan bagi mempertahankan kemenangan kali pertama, sebaliknya saya menyerahkan kuasa mengundi ke tangan peminat.

"Saya bersyukur kemenangan berlaku 10 tahun lalu kerana saya sukakan keadaan dan hidup yang tidak terlalu disanjung. Kini, hidup saya tenang dan hanya ingin membuktikan kepada peminat hasil kerja dan bakat dimiliki," kata Nabil.

Post a Comment

Previous Post Next Post