Menghentikan spekulasi dan tanda tanya peminat, penyanyi, Hunny Madu mengesahkan sudah bernikah dengan jejaka Itali bergelar cef di ibu negara, Mei lalu.
Hunny mengaku menamatkan status ibu tunggal dengan Fedrighi Francesco pada 2 Mei lalu dalam majlis pernikahan yang dihadiri keluarga berikutan prosedur operasi standard (SOP) mengekang COVID-19.
Francesco yang menetap di Malaysia sejak Januari 2018, memeluk Islam, Februari lalu.
Hunny berkata, dia hanya memaklumkan keluarga terdekat dan teman rapat mengenai niatnya bernikah.
"Majlis nikah cukup ringkas dan hanya disaksikan adik-beradik, ibu bapa dan dua anak saya.
"Malah, baju nikah kami pinjam sekadar memenuhi syarat kerana tidak cukup masa untuk membuat persalinan baharu. Namun, cukup menjadi kenangan saya dan suami," katanya.
Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd Hatim berkata, majlis resepsi sepatutnya diadakan bulan lalu.
"Namun, majlis itu terpaksa ditunda disebabkan perkara yang tidak dapat dikongsi. Insya-Allah majlis itu akan diadakan pada masa lebih sesuai," katanya.
Pasangan ini sempat bercuti di Langkawi bersama anak-anak Hunny iaitu Eva Medina, 8, dan Adam Musa, 3.
Hunny bersyukur bertemu jejaka yang disifatkan cukup baik kepada dirinya, anak dan keluarga.
"Saya bertuah... Dia buat saya bahagia. Semoga hubungan kami ini akan kekal sampai ke Jannah... Insya-Allah," katanya.
Sementara itu, Hunny memohon maaf kepada pihak yang menganggap foto dirinya dan suami yang dikongsi di Instagram (IG), keterlaluan.
"Isu ini timbul kerana orang tidak tahu perkara sebenar bahawa saya dan dia sudah berkahwin. Disebabkan itulah, saya ambil kesempatan meleraikan persoalan," katanya.
Pada 2010, Hunny mendirikan rumah tangga dengan Khairul Azhar Abdul Wahid, namun bercerai, lapan tahun kemudian.