Ain Edruce bersyukur suami memahami

KEHIDUPAN rumah tangan golongan selebriti sentiasa menjadi perhatian ramai. Apatah lagi, apabila aktiviti bersama suami atau isteri turut dikongsikan di media sosial.

Begitu juga pengacara dan pelakon, Ain Edruce, 29, yang mana ada ketika berkongsi foto dan video bersama suami tersayang di rumah. Malah, menariknya suami Ain iaitu Amirul Hafiz, 28, suka memasak.

Mengulas mengenai perkara itu, Ain berkata, suaminya sangat suka memasak dan kebanyakan hidangan disediakan enak dan sedap. Bahkan, kecekapan memasak Amirul lebih bagus daripada dirinya.

"Sekarang, saya makin memahami, kehidupan suami dan isteri memang banyak kena tolak ansur. Malah, saya bersyukur kerana Amirul sangat memahami dan menyokong saya dalam kerjaya.

"Dia tahu, saya isteri yang sibuk bekerja ditambah, kerjaya dalam industri seni ini tidak tentu masa dan saya juga sering pulang lewat dari lokasi penggambaran

"Alhamdulillah, Amirul tak pernah merungut dan dia juga tidak menyibuk dalam setiap urusan kerja saya. Apa yang selalu diberikannya, kata-kata samangat supaya saya lebih fokus ketika bekerja," katanya.

Mengulas juga mengenai cahaya mata, Ain yang bernikah dengan Amirul pada 13 Disember tahun lalu, berkata, semua pasangan yang berkahwin pasti selalu berdoa semoga dikurnia zuriat.

"Begitu juga, saya dan suami turut mengimpikan cahaya mata. Apatah lagi, kehadiran cahaya mata mengerat hubungan kasih sayang sesama pasangan.

"Namun, sama ada saya dah hamil atau belum, buat masa ini tak nak komen lagi. Namun, saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan yang baik- baik.

"Sampai masanya, saya akan berkongsi. Tetapi, sekarang fokus saya masih lagi pada kerja. Alhamdulillah, rezeki makin bertambah selepas berumah tangga," katanya.

Berbicara mengenai kecaman daripada segelintir netizen terhadapnya yang ada kala dilihat keterlaluan, Ain berkata dia tak pernah peduli mengenai komen negatif itu.

"Saya selesa dikelilingi aura positif. Jadi, benda-benda yang negatif seperti komen ditulis netizen dengan bahasa kurang manis dan kesat, saya tak layan.

"Ditambah, saya tak mahu rasa tertekan dan sakit hati. Oleh itu, saya biasanya akan biar dan abaikan saja. Itu lebih baik," katanya.

Memandangkan situasi penularan pandemik Covid-19 dalam negara masih serius dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksana di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor, Ain menyifatkan paling utama baginya supaya menjaga keselamatan diri.

Menurutnya, setiap orang perlu sentiasa menjaga kesihatan dan cuba lindungi dengan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) disarankan kerajaan pada setiap masa dan di mana saja berada.

Post a Comment

Previous Post Next Post