Siti Nordiana Mana ada gaduh

Penyanyi Siti Nordiana menafikan dakwaan konon dia dan Khai Bahar mempunyai masalah sehingga sukar bekerjasama.

Menjawab spekulasi bertebaran, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana menjelaskan apa yang berlaku hanyalah salah faham.

Akuinya, hubungan dengan rakan duet lagu Satukan Rasa itu masih baik sehingga hari ini.

"Saya dan Khai tidak pernah bergaduh seperti yang diperkatakan. Itu hanyalah salah faham semata-mata.

"Mungkin peminat sudah lama tidak nampak kami bergambar bersama menyebabkan ramai yang menyangka kami bermasalah.

"Sebelum ini, kami ada menjayakan sebuah persembahan bersama. Cuma pada masa itu, kami tidak sempat hendak berbual dan bergambar bersama.

"Kebetulan selepas acara tamat, Khai terpaksa bergegas ke tempat lain kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri.

"Saya mengaku ramai yang menghantar mesej peribadi di laman sosial bertanyakan perkara ini. Tetapi saya malas hendak layan sebab tiada apa-apa isu pun," katanya kepada BH Online.

Penyanyi yang baru muncul dengan single berjudul Angkara ini bagaimanapun mengakui situasi itu sedikit sebanyak melukakan hati peminat mereka.

"Tidak dinafikan ada peminat yang kecewa apabila timbul gosip seperti ini. Lebih-lebih lagi, bila melihat kami sudah tidak bergambar bersama dan tidak meletakkan tanda suka pada gambar masing-masing.

"Pada saya, semua itu perkara kecil sahaja dan tidak perlu diperbesarkan. Masing-masing ada kerjaya seni tersendiri yang perlu diberi perhatian," katanya yang meraih trofi Penyanyi Wanita Popular dan Pengacara Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32.

Post a Comment

Previous Post Next Post