Bakat Aina Abdul diintai penyanyi popular




Bakat besar yang dimiliki penyanyi, komposer dan penulis lirik, Aina Abdul kini mula diintai penyanyi popular.

Sekian lama menyimpan impian, akhirnya Aina bakal bekerjasama dengan penyanyi Elly Mazlein dan Ernie Zakri apabila dua penyanyi popular meluahkan hasrat untuk menyanyikan karyanya.

Bagaimanapun, terbit kerisauan di hati penyanyi berusia 27 itu sekiranya kualiti tidak menepati cita rasa mereka.

"Impian saya sejak dahulu memang nak buat untuk lagu untuk penyanyi lain. Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan, tetapi saya risau jika tidak berjaya memenuhi kehendak mereka.

"Saya menghasilkan single untuk nyanyian sendiri, selama ini. Jika banyak kali kena betulkan pun tidak mengapa.

"Jika saya menghasilkan karya untuk penyanyi lain, saya akan pastikan ia menepati cita rasa dan kehendak mereka sebelum serahkan lagu. Saya akan siapkan karya dengan baik.

"Syukur, Elly dan Ernie tiada masalah dan memberi kerjasama yang baik. Ada orang menasihatkan berhati-hati bekerja dengan penyanyi lama sebab mereka sukar berkomunikasi. Bagaimanapun, Elly mahupun Ernie sangat menyenangkan. Sekarang, saya baru sahaja selesai merakamkan dan menyusun demo untuk mereka," katanya kepada BH Online.

Berkongsi mengenai kerjasama itu, Aina berkata, Elly dan Ernie yang meluahkan hasrat untuk bekerjasama.

"Ernie mesej, tentunya saya gembira. Pada hari menerima mesejnya, dari pagi hingga malam, saya dengar lagu dendangannya untuk mendapatkan 'roh' lagu. Saya dapat menyiapkan rangka dan menyerahkan pada Ernie pada hari yang sama.

"Kemudiannya, Ernie terus menyumbangkan suaranya dalam mesej 'voice note' selepas sebulan kami saling berhubung. Sekarang, single ini dalam pembikinan.

"Elly pula banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini. Dia minta lagu Sumpah versi 2.0. Sama macam Ernie, saya dengar lagu dendangkan Elly sebelum menghasilkan karya buatnya. Single ini seperti lagu Sumpah tetapi versi lebih matang.

"Saya menghasilkan lagu buat Elly, manakala lirik pula, Wan Zakaria. Ernie pula berbeza apabila memilih untuk menghasilkan lirik sendiri. Jadi, saya dan Ernie berkolaborasi menghasilkan lagunya," katanya yang ingin bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Semalam itu akan melancarkan dua single serentak dalam masa terdekat.

"Dua single ini agak berbeza dari karya yang pernah diketengahkan. Sebelum ini, saya banyak mendendangkan lagu bergenre balada, tapi kali ini saya melakukan eksperimen dengan genre lebih 'catchy' kerana saya mahu menarik pendengar muda.

"Jadi, dua single ini lebih ringan dan mesejnya bersesuaian dengan remaja. Satu lagu bergenre pop balada dan satu lagi berentak pop R&B," katanya.

Mengulas kenapa memilih untuk mengeluarkan dua single serentak, Aina berkata, dua single berkenaan berkaitan antara satu sama lain.

"Ada kesinambungan cerita dalam dua single ini, jadi apabila peminat mendengar lagu pertama, mereka kena dengar lagu kedua untuk mengetahui kisahnya.

"Saya tahu bukan senang orang nak kenal Aina Abdul. Disebabkan itu, lagu yang dikeluarkan perlu berbeza dan jujur dari hati saya," kata bakat kelahiran program Mentor Legend pada 2014 itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post