Kumpulan agama BTS mempersendakan islam




Kumpulan agama BTS yang diwujudkan melalui Telegram dianggotai warga Malaysia dan Indonesia dikesan mempersendakan Islam.

Penubuhan platform tertutup itu dipercayai bertujuan menarik penyertaan peminat tegar kumpulan BTS dari kedua-dua negara berkenaan.

Bagaimanapun, kumpulan itu dilihat mempersendakan Islam apabila meletakkan rukun agama BTS seperti menjadikan tarian sebagai kitab suci mereka di ruangan informasi sebagai syarat turut serta.

Rukun lain seperti melafazkan syahadah tanpa kalimah Allah sebanyak tiga kali, menghafal lagu BTS, jangan menghina sesama ahli dan larangan berkongsi maklumat kumpulan kepada kelompok pembenci.

Aktiviti mereka bagaimanapun terbongkar apabila tersebarnya paparan tangkap layar informasi kumpulan di laman sosial yang dipercayai sudah mengumpul lebih 4,000 ahli.

Salah satu paparan tangkap layar tersebar adalah mengenai kandungan mesej kononnya daripada perwakilan Malaysia yang menyatakan sokongannya dengan tanda pagar nama ahli kumpulan digelar Nabi.

Isu itu menjadi pertikaian dalam kalangan warganet dengan ada di antara peminat atau dikenali BTS Army menganggap penubuhan kumpulan di Telegram itu adalah cubaan menjatuhkan selebriti kesayangan mereka.

Peminat tegar BTS, Mastura Jamil, 50, menyangkal dakwaan kumpulan terbabit ditubuhkan peminat dari Malaysia.

Sebaliknya, ibu empat anak itu berkata, hasil semakan mendapati kumpulan itu dipercayai ditubuhkan individu dari Indonesia.

"Tindakan itu bukan saja mempersenda agama tetapi mencetuskan fitnah terhadap Army BTS dari Malaysia.

"Lebih menyedihkan apabila ia turut memburukkan negara kerana terdapat logo Jalur Gemilang di kumpulan Telegram itu.

"Hakikatnya, peminat Malaysia tidak fanatik atau taksub sampai ke tahap itu malah hanya berkongsi minat terhadap muzik dan kerjaya BTS apabila berkumpul," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mastura, dia berharap nama Army BTS Malaysia dapat dibersihkan dan tidak terus terpalit dengan tindakan mempersendakan agama.

"Kami memang ada berinteraksi sesama ahli menerusi Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram tetapi mana mungkin menubuhkan kumpulan yang boleh memesongkan akidah.

"Malah, saya sendiri sebagai orang lebih berumur sentiasa mengingatkan ahli lain kerana kami seperti sebuah keluarga.

"Apabila timbulnya isu seperti ini, ramai menyalahkan kami dan saya bersama ahli kemungkinan akan membuat laporan polis jika perkara ini terus berlarutan," katanya.

Sementara itu, Maira, 21, berkata, niatnya berkongsi tangkap layar kumpulan Telegram berkenaan di Twitter adalah untuk meminta bantuan pengikut membuat laporan terhadap pemilik akaun, bukannya menyinggung perasaan sesiapa.

"Disebabkan itu, saya jelaskan di ciapan saya kerana enggan orang menyalahkan satu sama lain sebaliknya bertindak membuat laporan.

"Lagipun, saya bukan peminat atau membenci BTS tetapi kecewa dengan penubuhan kumpulan berkenaan kerana bukan saja mempersendakan agama malah mencetuskan kemarahan orang ramai hingga timbul fitnah terhadap peminat yang tidak terbabit," katanya.

Katanya, Maira berharap, isu itu dipandang serius pihak berkuasa dari kedua-dua negara.

"Bayangkan, anak atau adik menyertai kumpulan berkenaan hanya kerana meminati BTS. Bagaimana dengan akidah mereka? Saya tidak mahu menjatuhkan hukum tetapi kesannya amat membimbangkan," katanya

Post a Comment

Previous Post Next Post