Ashraf Muslim sayu tinggalkan wad 31 selepas pulih




Pelakon Ashraf Muslim, 39, akhirnya pulang ke pangkuan kedua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi selepas 25 hari dikuarintin di Hospital Sungai Buloh (HSB) kerana positif Covid-19

Ashraf menerusi perkongsian di Instagram (IG) meluahkan rasa sedih dan sayu di hatinya apabila harus meninggalkan wad 31 dan rakannya pada kalangan pesakit positif Covid-19 yang dianggap seperti keluarga.

"Assalamualaikum, masanya sudah tiba. Berat hati ini untuk meninggalkan sahabat-sahabat di wad ini. Mereka sudah saya anggap sebagai keluarga.

"Allahuakbar, tak boleh nak terjemahkan perasaan ini. Tiga hari sebelum balik, memang sayu untuk tinggalkan wad. Saya mohon maaf kepada pakcik, abang-abang dan adik-adik warga wad 31 serta doktor dan jururawat yang menjaga kami.

"Saya ingin berterima kasih kepada petugas barisan hadapan kerana terima saya dan rakan-rakan seadanya. Tak lupa juga, pada mereka yang menyumbang makanan dan minuman kepada kami di sini. Semoga Allah murahkan rezeki kalian semua," tulisnya.

Menurut Ashraf, dia sebenarnya disahkan pulih daripada wabak itu pada 23 April lalu, namun memilih untuk terus kuarintin di hospital kerana alasan tertentu.


"Apapun, saya ingin minta maaf kepada kawan-kawan termasuk rakan artis dan wartawan yang ada bertanya bila saya boleh keluar dari wad, tapi saya sentiasa mengelak.

"Saya sebenarnya sudah lama disahkan negatif, sehari sebelum Ramadan. Namun, saya memilih tinggal di wad 31 untuk menjalani kuarantin diri. Banyak sebab keputusan ini dibuat dan yang paling penting, saya dapat solat berjemaah dan menjalani ibadah bersama dengan pesakit lain.

"Ini adalah terapi hati saya untuk lebih tenang. Maafkan saya, dengan tindakan dibuat. Banyak cerita, pengalaman, perkongsian dilakukan bersama di mana pesakit datang daripada pelbagai kaum, agama, dan latar belakang.

"Tapi hanya satu sahaja yang kami inginkan iaitu 'ketenangan'. Jangan risau sahabat, Allah kan ada, dia selalu bersama-sama kita. Mengadulah pada dia, Insyaa-Allah akan dibantu," katanya.

Dalam masa sama, Ashraf memohon rakyat Malaysia untuk mendoakan kesejahteraan pesakit Covid-19 supaya segera pulih.

"Sama-sama kita doakan semoga pesakit Covid-19 cepat pulih dan dapat berjumpa ahli keluarga serta penyakit ini hilang dari muka bumi. Insyaa-Allah, terima kasih Allah kerana memilihku sebagai pesakit Covid-19 dan syukur padamu ku merasa nikmat ini" katanya.

Ashraf dirawat di HSB akibat positif wabak Covid-19 pada 12 April lalu selepas pulang dari Inverness, Scotland pada 31 Mac, walaupun sebelumnya dia menjalani kuarantin selama dua minggu.

Post a Comment

Previous Post Next Post