Aina Abdul Hati saya terguris




Komen keterlaluan dilemparkan netizen membuatkan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34, Aina Abdul, menjeruk rasa.

Mengapa tidak, kutukan berbunyi ‘kau patut buat muka’ yang ditinggalkan pengikut, gara-gara foto promosi AJL34 yang bakal disiarkan TV3 secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini, membuatkan Aina, tersentak.

Aina yang mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri, Sumpah, mengaku terguris dengan kritikan berbaur negatif dilemparkan netizen selepas melihat gayanya memakai turban dengan lilitan kain berjurai dalam foto berkenaan.

“Dalam banyak komen positif yang diterima daripada pengikut saban hari, mesti ada beberapa mesej yang menyentuh fizikal dan imej saya.

“Saya anggap suatu penghinaan buat saya apabila ada yang menyebut ‘kau buruk, kau patut buat muka’ dan sebagainya.

“Biarpun saya cuba tidak mempedulikan komen sebegitu, kata-kata sedemikian tetap mengguris perasaan saya.

“Saya tidak suka melayan komen seumpama itu dan pengurus saya bertindak memadamkan komen negatif.

“Jadi, dalam persediaan menghadapi AJL34, selain mengurangkan penggunaan media sosial, saya lebih suka menyendiri,”.


Aina, 27, tidak mahu persembahan di pentas berprestij itu, terganggu dengan ‘cakap-cakap orang’ mengenai imej dan penampilannya.

Mengulas lanjut mengenai foto promosi AJL34 yang diperkatakan itu, Aina mengaku melakukan eksperimen dengan tema ‘luar kotak’ dan warna-warni yang ditetapkan TV3.

Namun, naib juar Mentor Legend 2014 ini tidak menyangka gayanya itu dikecam dan dijadikan parodi.

“Tak sangka niat untuk memenuhi permintaan penganjur menjadikan saya bahan kecaman. Saya tidaklah ‘down’ (murung) yang melampau kerana saya yang memilih imej itu.

“Bagi saya, imej itu hanyalah untuk sesi fotografi mempromosikan AJL34. Saya tidak akan bergaya seperti itu di luar. Kali ini, ramai beritahu, saya tidak sesuai mengenakan turban. Jadi, saya tidak akan memakainya lagi.

“Namun, melihat dari sudut positif, mereka yang tidak mengenali saya mula mencari siapa wanita dengan imej turban jurai yang viral itu.

“Secara tak langsung, kekecohan ini menjadi suatu bentuk publisiti buat saya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post