Hady Mirza Sedia cuba cabang seni lain




Selepas dinobat sebagai juara bersama Naqiu dalam Gegar Vaganza musim keenam (GV6) lalu, Hady Mirza terus selesa memacu kerjaya seninya di negara ini.

Apatah lagi, bintang berkaliber dari Singapura ini dilihat semakin teguh memahat nama dan bakatnya.

Hady, 40, berkata, dia gigih berusaha dan serius mengetengahkan bakatnya demi menyara keluarga memandangkan kerjaya seni adalah periuk nasinya.

“Pembabitan saya dalam nyanyian sudah lama. Sekarang saya perlu berani mencuba cabang seni lain. Alhamdulillah, kini saya dapat rezeki menjadi pengacara program Dansa Dan Sing. Mana tahu suatu hari nanti ada peluang berlakon pula.

“Saya sedia mencuba bukan tamak atau mahu kejar populariti, tetapi demi kelangsungan komitmen untuk keluarga yang ditanggung,” katanya.

Menurut Hady, zaman untuk dia meraih populariti sudah berlalu dan sekarang apa dilakukannya adalah untuk kekal bertahan dalam bidang ini.

“Saya sentiasa yakin dengan rezeki Allah. Jika memang rezeki dijanjikan itu milik saya, pasti akan dalam genggaman. Jika sebaliknya, saya akur tidak ada rezeki dan selagi termampu akan berusaha. Tidak ada istilah lelah dan cepat kecewa dalam kamus hidup saya,” katanya.


Mengulas mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Hady berkata, dia dalam perancangan untuk muncul dengan lagu solo terbaharu.

Katanya, dia teruja apabila penyanyi dan komposer remaja, Haqiem Rusli berminat mencipta lagu untuknya.

“Saya tak sangka Haqiem nak buatkan lagu untuk saya. Dia (Haqiem) hantar mesej di Instagram memberitahu sedia untuk bekerjasama.

“Saya memang tidak kisah menyanyikan lagu baharu ciptaan mana-mana komposer berminat asalkan ia sesuai dengan vokal saya,” katanya.

Ditanya sama ada komposer lain yang berpengalaman mahu bekerjasama dengannya, Hady berkata, ada juga turut berminat.

Bagaimanapun, dia perlu mendengar melodi lagu dihasilkan itu kerana cita rasa pendengar muzik masa kini sangat pelbagai dan dia perlu memilih yang terbaik.

Post a Comment

Previous Post Next Post