Enam tahun berkahwin, Penyanyi dan pelakon Izzue Islam menafikan bakal melakukan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 29, bersama isteri, Awin Nurin, sepakat untuk menjalani pemeriksaan kesuburan terlebih dahulu.
"Belum lagi buat sebarang rawatan. Buat masa sekarang, perancangan hanya untuk menjalani pemeriksaan kesuburan dahulu.
"Buat pemeriksaan dahulu sekurang-kurangnya kita tahu siapa yang bermasalah kerana sebelum ini memang kami tidak pernah buat pemeriksaan kesuburan," katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada sidang media Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends sebentar tadi di ibu negara.
Kata Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) itu, sama ada dia dan isteri sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan tidak subur sekali gus menyukarkan proses untuk mendapatkan zuriat.
"Rezeki Allah SWT yang bagi. Kami berdua bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.
"Ada juga mendapat nasihat daripada kawan-kawan selebriti seperti Fizo Omar dan Black. Mereka ada sarankan doktor bagus untuk urusan mendapatkan zuriat.
"Ada orang kata buat IVF terus. Ada juga yang nasihatkan jangan buat IVF, pergi buat pemeriksaan dahulu. Jadi sekarang kami sepakat, pergi periksa dahulu dan selepas tahu masalah, kita akan ikhtiar cara seperti rawatan kampung dan sebagainya. Insya-Allah," ujar Izzue.
Izzue dan isteri, Awin yang juga merupakan pengurusnya mendirikan rumahtangga pada pada 2 Jun 2013.