Belum memifikirkan soal cinta, Aiman menolak untuk bercinta dalam masa terdekat kerana mahu melunaskan tanggungjawab kepada keluarga terlebih dahulu.
Kehidupan seperti roda, ada masa di atas dan pada ketika lain, berada di bawah. Perumpamaan sebegitu mungkin yang paling sesuai bagi menggambarkan kerjaya seni Aiman Tino.
Namanya yang pernah dijulang sekitar tahun 2016 apabila debut single, Ku Rela Dibenci meledak hit itu bagaimanapun semakin menghilang daripada bibir peminat, bahkan tuan punya badan juga seperti memperlahankan rentaknya dalam dunia nyanyian.
Pernah mencipta fenomena tersendiri tiga tahun lalu, Aiman ketika ditemui di Rumah Terbuka Aiman Tino dan Fara Hezel di Dewan TKR, Bukit Raja, Selangor baru-baru ini hanya tersenyum nipis saat ditanya tentang perkara tersebut.
“Sama ada saya suka atau tidak, itulah hakikat yang perlu saya terima buat masa sekarang. Saya sedar ramai yang melabelkan saya sebagai artis ‘one hit wonder’ tetapi apa yang boleh saya katakan, saya belum mengalah.
“Kerjaya seni memang perlahan sekarang tetapi tidak mengapa, saya masih punya masa untuk bangkit semula,” jelasnya panjang lebar.
Tolak tawaran
Jika diperhatikan, Aiman semakin menjauhkan diri dari industri sejak isu video lelaki separuh bogel yang dikaitkan dengan dirinya tular pada Mac lalu.
Sejak kejadian itu, jejaka berusia 21 tahun itu seperti mengelak daripada berinteraksi dengan peminat di laman Instagram, tidak mengemas kini status media sosial dan hanya menyepikan diri secara perlahan-lahan.
Kata Aiman, tujuan dia berbuat demikian adalah untuk memberi ruang kepada dirinya bermuhasabah diri dan mahu bebas sebentar daripada asakan kontroversi dunia hiburan yang semakin menyesakkan kepalanya.
Mengakui banyak menolak tawaran kerja sepanjang hampir empat bulan berdiam diri, dia menafikan tertekan dengan isu video panas tetapi berasa rimas dengan sikap warga net yang terus-menerus cuba menjatuhkannya.
“Pada waktu itu, sudah tidak sanggup membaca komen-komen berbaur penghinaan dan kritikan pedas yang ditinggalkan warga net terutama di laman Instagram.
“Saya cuma perlukan masa untuk berehat, itu sahaja. Sekarang saya sudah bersedia untuk kembali aktif dalam media sosial, menerima tawaran persembahan dan merakam lagu baharu,”ujarnya teruja.
Fokus berniaga
Sepanjang tempoh dia berdiam diri, Aiman turut menerima tawaran tajaan pengajian peringkat diploma dari sebuah universiti swasta namun memutuskan untuk menolak terlebih dahulu.
Tambahnya, pada usia 21 tahun, dia berasakan dirinya sudah ketinggalan agak jauh untuk memulakan pengajian. Dalam masa sama, melihat kepada perkembangan kerjayanya sekarang, Aiman menyifatkan lebih baik fokus ke arah menaikkan semula namanya dalam industri.
Menerima sokongan ibu bapa berhubung keputusan yang dibuat, pemilik nama Mohamad Aiman Yusri itu bagaimanapun tetap mengambil inisiatif mengikuti kelas-kelas tertentu yang dihadiri secara tertutup mengikut keperluan semasa.
“Belajar bukan hanya terhad di universiti tetapi boleh dilakukan di mana sahaja mengikut keperluan dan kelapangan waktu.
“Fokus saya kini adalah untuk menaikkan semula nama dalam industri dan memulakan perniagaan bawah label Aiman Tino. Semuanya sedang dalam perancangan,” tuturnya.
Pernah menikmati fasa dijulang tinggi, kini penyanyi Aiman Tino harus menerima hakikat bahawa namanya kian suram. Dia berazam mahu memulihkan kerjayanya seperti tiga tahun lalu.