Harris Baba Nak fokus muzik saja




Setiap manusia punya cara kerja tersendiri dan berbeza berbanding individu lain.

Ada yang dapat melakukan banyak kerja dalam satu masa, tidak kurang pula lebih selesa untuk memberi tumpuan kepada satu hal dalam satu masa.

Bagi penyanyi Harris Baba, dia kini lebih selesa fokus kepada satu cabang seni saja.

Baginya, itu adalah satu perkara penting demi memastikan fokusnya tidak terganggu hanya kerana ingin melakukan banyak perkara dalam satu masa.

“Saya pernah cuba untuk menyanyi dan berlakon.

“Hasilnya tidak seperti yang saya inginkan dan diakui apa yang dilakukan dahulu mengganggu fokus saya,” katanya.

Tambah anak jati Singapura itu, dia kini mahu fokus kepada bidang muzik saja.

“Saya bermula sebagai penyanyi dan saya yakin bakat saya lebih kepada muzik.

“Tahun ini, saya mahu mengembangkan karier nyanyian,” katanya.


Ditanya sama ada dia akan meninggalkan karier lakonan sepenuhnya, Harris tidak menafikan rasa cintanya terhadap cabang seni itu masih tebal.

“Jujur, minat terhadap dunia lakonan tak pernah padam.

“Namun, buat masa ini saya rasa lebih baik ketepikan saja minat itu.

“Pengalaman sebelum ini banyak mengajar saya supaya tidak terlalu mengejar semua benda sampai tak mampu mengawal jadual kerja.

“Dulu, saya keluarkan lagu dan kemudian, ‘terperangkap’ di set penggambaran drama selama enam bulan

sekali gus mengganggu rangka promosi lagu saya,” katanya.

Namun, dia tidak menolak jika ada tawaran berlakon selepas namanya kembali stabil.

“Insya-Allah, kalau nama saya sebagai penyanyi sudah kukuh, saya akan kembali berlakon.

“Sekarang, fokus saya adalah muzik dan biar orang kenal dahulu lagu saya.

“Saya tak mahu peminat keliru dan tertanya-tanya sama ada saya mahu jadi penyanyi atau pelakon,” katanya.

Terbaru, Harris hadir dengan single Love Me dan bernaung di bawah label World Peace Entertainment.

Post a Comment

Previous Post Next Post