Aedy Ashraff Bukan kerana populariti




Pelakon Aedy Ashraff menolak dakwaan segelintir pihak yang mengatakan gerai snek kentang goreng miliknya laris berikutan popularitinya.

Katanya, gerai itu mendapat sambutan ramai kerana keenakan resipinya dan disebabkan itu dapat beroperasi di dua cawangan.

“Tidak dinafikan populariti yang saya terima sedikit sebanyak menaikkan lagi jenama perniagaan ini tetapi bukan 100 peratus.

“Bagi saya, kejayaan gerai ini adalah kerana keenakan menu yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya FoodMonger baru-baru ini.

Katanya, dia perlu membahagikan masa sebaik mungkin bagi memastikan karier lakonan dan gerainya terus mendapat sambutan ramai.

Aedy berkata, dia akan memastikan dirinya mendapat rehat secukupnya walaupun perlu menguruskan dua cawangan yang terletak di The Podium, Sungai Penchala dan terbaharu di FoodMonger, Tamarind Square, Cyberjaya.




Aedy Ashraf meraikan tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aedy Asraff dan pembukaan kedai makan FoodMonger, di Cyberjaya

“Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan mengusahakan perniagaan ini saya berjaya membuka satu lagi gerai di FoodMonger.

“Jujur, memang tak cukup rehat tetapi saya harus akui bidang perniagaan adalah kerjaya baharu yang mempunyai kepuasan tersendiri.

“Walaupun sibuk apabila perlu turun ke dapur tapi saya akan pastikan diri cukup tidur enam jam sehari supaya badan tidak cepat letih,” katanya.

Ditanya apakah perkara yang dipelajari sepanjang menguruskan dua cawangan kedainya Aedy berkata, pengurusan wang antara aspek penting yang diuruskan dengan baik.

“Banyak benda yang saya belajar sepanjang tiga bulan ini. Antaranya pengurusan duit kerana sebelum ini saya tiada asas dalam bidang perniagaan.

“Jadi, tidak pernah tahu soal pengurusan duit. Dulu duit lakonan juga habis begitu saja tetapi sekarang saya belajar cara untuk menyimpan duit.

“Malah duit yang saya dapat itu bukan untuk saya saja tetapi untuk dikongsi seperti membayar gaji pekerja dan membeli stok,” katanya.

Biarpun Syawal berakhir, FoodMonger bersama Aedy tidak ketinggalan meraikan pengunjung serta peminat yang hadir dalam jamuan Aidilfitri yang diadakan baru-baru ini.

“Ini adalah satu cara saya mendekati peminat serta pelanggan. Saya nak mereka rasa dan mencuba seleksi makanan yang disediakan.

“Majlis ini juga dapat mendekatkan ukhuwah dan silaturahim antara saya dan peminat. Tak sangka ramai yang hadir,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post