Radhi OAG mahu rujuk kembali bekas isteri




Vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali mengakui mahu merujuk kembali bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri yang diceraikan dengan talak 1 pada 25 Mac lalu.

Radhi, 41, berkata, dia dan Ayu akan ke mahkamah syariah pada Isnin depan bagi meneruskan proses rujuk tersebut secara rasmi.

“Benar, saya telah melafazkan talak satu kepadanya. Tetapi, saya tidak mahu perkahwinan ini berakhir.

“Allah telah beri kita pilihan (untuk menyelamatkan perkahwinan), jadi kita gunakan pilihan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Berita mengenai perceraian mereka mula disiarkan menerusi beberapa portal hiburan sejak tengah hari tadi.

Menerusi laporan tersebut, bekas isteri Radhi reda berpisah dengan suaminya dan kini tinggal bersama ibu bapanya di Kota Damansara, Selangor bersama dua anak mereka, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.

Dalam pada itu, Radhi berkata, dia tidak mahu memberi komen terhadap tindakan Shahira menguar-uarkan tentang perpisahan mereka.

“Saya bersangka baik dengan dia. Mungkin dia rindu saya selepas lima hari tidak bertanya khabar,” katanya lagi.

Radhi dan Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Sebelum itu, Radhi pernah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan pertama, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini 14 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post