Sam Bunkface akui sudah bercerai




Vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd. Baharom, 32, akhirnya membuka mulut dan mengakui telah bercerai dengan isterinya pada Januari lalu.

Sam berkata, dia dan bekas isteri, Aida Azira Hussin mengambil keputusan untuk berpisah demi kebaikan bersama.

“Saya ingin meminta maaf kerana menyimpan berita ini selama beberapa bulan. Hal ini kerana, saya amat menjaga privasi dan hati keluarga saya dan Aida.

“Walaupun kami tidak lagi bersama, hubungan kami masih lagi baik dan sentiasa berhubung bagi urusan menjaga anak kami, Maleeq,” katanya menerusi kemas kini yang di muat naik di Instagram.

Dalam pada itu, abang kepada pelakon Siti Saleha itu sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya.

“Doakan saya tabah meneruskan perjalanan di bumi Allah ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Kosmo! menerusi ruangan pojok Mizz Lahar melaporkan bahawa pasangan tersebut tidak lagi tinggal sebumbung dan didakwa telah berpisah sejak awal tahun.

Khabar angin tersebut kemudiannya disahkan sendiri oleh Aida menerusi pengakuannya di sebuah portal hiburan.

Sam dan Aida sebelum ini mendirikan rumah tangga pada 25 April 2015 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Maleeq yang kini berusia 3 tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post