Baby Shima Hadiah buat peminat




Namanya kurang menyerlah di Malaysia. Namun, siapa sangka tuah Baby Shima, 26, dalam bidang nyanyian lebih bersinar di Indonesia.

Pada saat hatinya hampir berputus asa, rezeki datang depan mata. Malah, syarikat dalam negara yang melamarnya punya nama besar yang melahirkan ramai penyanyi popular.

Namun begitu, Baby Shima sudah bergerak selesa di Indonesia tidak pernah membelakangkan negara kelahirannya.

Bagi mengekalkan ingatan peminat terhadapnya, Shima tampil dengan lagu duet bersama kumpulan Floor 88 berjudul Tak Jadi Raya. Ini adalah gandingan kedua mereka selepas Roadblock Hatiku.

“Kerjaya saya bemula di sini tetapi perjalanannya agak sukar dan kurang memberangsangkan.

“Apabila menerima tawaran dari Indonesia dan bernaung di bawah Nagaswara, saya terima dengan hati terbuka.

“Saya sama sekali tidak pernah lupa asal usul. Andai ada tawaran menyanyi di sini saya akan terima.

“Projek duet pula adalah salah satu cara saya menjaga karier di sini,” katanya.

Sibuk dengan pelbagai undangan, Baby Shima tampak semakin kurus malah berat badannya kini hanya 42 kilogram.

Ditanya mengenai perkara itu, Shima berkata dia menjaga pemakanannya agar berat badan kekal begitu.

“Ada satu ketika, berat saya mencecah 45 kilogram. Majikan panggil dan tunjuk persembahan saya menerusi televisyen. Nampak pipi saya tembam dan badan yang pun besar dari saiz sebenar.

“Dia minta saya turunkan berat badan. Saya tak mahu nampak ‘gemuk’ di televisyen dan mula menjaga pemakanan.

“Kalau dulu saya boleh makan nasi tiga hingga lima kali sehari, sekarang hanya satu atau dua kali sahaja,” katanya.

Shima memaklumkan jadual kerja yang padat di Indonesia juga membuatkan dia kurang tidur kerana perlu bekejar dari satu tempat ke tempat lain. Jarak setiap tempat itu pula ambil masa berjam-jam lamanya.

Menyedari keadaan itu, dia menitikberatkan penjagaan kesihatan dengan mengambil makanan tambahan.

Dengan cara itu dia akan rasa lebih bertenaga dan dapat mengelakkan diserang penyakit.

Berkongsi perkembangan lain, Shima mengaku menerima beberapa tawaran berlakon namun terpaksa menolak secara baik kerana belum bersedia.

“Memang ada tawaran menjayakan sinetron tetapi saya belum yakin dengan kemampuan diri.

“Apatah lagi mereka mahu saya bercakap sepenuhnya dalam bahasa Indonesia.

“Jika betul mahu berlakon saya kena pastikan diri benar-benar bersedia.

“Saya kena persiapkan diri kerana tidak mahu susahkan produksi,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post