Azira Shafinaz tak lupa nyanyian




Tidak hanya berbakat dalam nyanyian, Azira Shafinaz turut mempamerkan kualiti lakonan yang memberangsangkan. Dia bersyukur kerana kehadirannya dalam industri seni tanah air diterima baik.

Anak seni yang juga anggota kumpulan De Fam itu tidak putus-putus menerima tawaran berlakon. Boleh dikatakan setiap tahun, Azira pasti tampil dengan drama dan telefilem baharu.

Meski sibuk dengan penggambaran, Azira bagaimanapun tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Kata si cantik itu, mana mungkin dia meninggalkan dunia nyanyian kerana sangat mencintai cabang seni itu.

“Betul, jika dibandingkan dengan Sophia dan Cik Manggis, saya paling aktif berlakon. Namun, itu tidak bermakna saya akan tinggalkan bidang nyanyian dan fokus berlakon saja kerana dua cabang seni ini saya suka.

“Buat peminat yang menunggu buah tangan daripada De Fam, insya-Allah Ogos nanti kami lancarkan lagu baharu. Sebenarnya lagu sudah siap cuma lewat dilancarkan kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu.

“Buat masa ini, saya belum boleh kongsi tajuk lagu ini. Ia berbeza daripada karya dendangan kami sebelum ini. Apa yang boleh saya simpulkan ia menampakkan kematangan De Fam,” katanya.

Puteri bongsu berusia 28 tahun itu turut mendedahkan kisah cintanya dengan bekas kekasih yang juga ahli perniagaan, Yasser Khan kembali bertaut.

Sebelum ini berikutan masalah tertentu, mereka memutuskan untuk berpisah dan bawa haluan masing-masing selama enam bulan. Sepanjang tempoh itu Azira serta Yasser sama-sama muhasabah diri dan akhirnya mengambil keputusan untuk bersama semula.

Bagi Azira, perpisahan itu menjadikan mereka lebih matang dalam menangani setiap masalah yang melanda. Perpisahan juga mengajar mereka apa itu makna rindu.

“Dalam tempoh enam bulan, kami melihat kembali kelemahan diri dan cuba perbaiki. Proses ini mematangkan kami.

“Saya nampak kesungguhan dan keikhlasannya untuk berbaik semula. Dia berusaha memulihkan hubungan kami. Tindakannya itu membuatkan hati saya terbuka untuk menerimanya semula,” kata Azira yang sudah enam tahun mengenali jejaka itu.

Ditanya mengenai perancangan ke jenjang perkahwinan, Azira berkata mereka pernah berbincang mengenai perkara itu tetapi ia tidak akan berlangsung dalam masa terdekat.

Pernah menyasarkan untuk menamatkan zaman bujang pada usia 25 tahun, Azira bagaimanapun tidak terdesak untuk berumah tangga apatah lagi kerjayanya sedang mekar mewangi.

“Dulu, saya pernah berangan-angan untuk berkahwin pada usia 25 tahun tetapi lihat perkembangan karier, mungkin selepas 30 tahun barulah saya akan bergelar isteri.

“Saya bukan saja rancak membina karier nyanyian dan lakonan tetapi juga aktif mengacara. Kesibukan itu membuatkan saya terpaksa mengkaji semula rancangan yang diatur sebelum ini,” katanya.

Azira bagaimanapun yakin Yasser lelaki yang tepat buat dirinya. Ini kerana Yasser mampu membimbingnya menjadi individu lebih baik.

“Yasser tidak pernah menghakimi saya secara luaran. Malah, saya selalu cakap dengan orang tua saya tidak pernah jumpa mana-mana lelaki yang ikhlas menyayangi diri ini sepertinya,” kata Azira.

Post a Comment

Previous Post Next Post