Rashidi Ishak berhenti berharap




Meskipun telah bercerai, Rashidi tidak menolak untuk bekerja dalam satu projek yang sama dengan bekas isterinya, Vanidah.

Sekitar Mac lalu, aktor Rashidi Ishak mengejutkan banyak pihak terutamanya peminat apabila mengumumkan perkahwinannya selama 18 tahun dengan pelakon Vanidah Imran telah berakhir.

Rashidi mengambil masa hampir tujuh bulan mengumpul kekuatan sebelum mendedahkan berita tersebut agar dia bersedia dengan pelbagai andaian dan pertanyaan orang sekeliling.

Kini, genap sembilan bulan pelakon filem Bu:Kasih Suci itu memegang status duda. Meneruskan kehidupan seperti biasa, Rashidi tanpa berselindung memberitahu, dia juga ada berkenalan dengan beberapa wanita.

Sedar masih terdapat segelintir peminat yang mengharapkan dia dan bekas isteri kembali bersatu, lelaki berusia 46 tahun itu meminta agar mereka berhenti berbuat demikian. Hal ini kerana, dia sendiri sudah berhenti berharap.

Mengapakah anda sudah tidak lagi meletakkan sebarang harapan terhadap kemungkinan rujuk semula dengan bekas isteri?

RASHIDI: Harapan saya sudah hilang saat saya lafazkan talak terhadap bekas isteri. Ya, saya tahu jodoh itu rahsia Allah, tetapi buat masa sekarang untuk kembali bersama bukanlah satu pilihan. Saya tahu ramai peminat mengharapkan keajaiban, bagaimanapun cukup-cukuplah cuba menyatukan kami berdua kerana saya dan Vanidah sudah meneruskan kehidupan masing-masing.

Jadi, adakah anda terbuka untuk menerima cinta baharu?

Ya, sekarang saya memang berkawan dengan semua orang dan jika ada jodoh, saya tidak menolak. Mungkin orang akan fikir terlalu cepat, tetapi sampai bila saya perlu bersedih. Lumrah manusia mahukan teman dalam hidup.

Adakah hubungan anda dan bekas isteri masih baik?

Kami berkawan, tetapi bukanlah sebagai teman rapat. Berhubung juga hanya untuk berbincang soal anak. Rasanya lebih baik begitu kerana selain menjadi ibu bapa kepada Mikhail Imran, 18 dan Maryam Rashika, 13, kami sudah tiada hubungan lain.

Apakah reaksi anda jika bekas isteri bertemu pengganti dahulu?

Alhamdulillah, saya akan berasa sangat gembira untuk dia. Selama ini pun saya sering memberitahu Vanidah bahawa saya doakan dia bertemu dengan orang yang jauh lebih baik dan layak untuk dirinya.

Bagaimana pula prinsip anda jika menerima tawaran lakonan dengan bekas isteri?

Tiada masalah dan saya pasti Vanidah juga berpandangan sama kerana kalau menyentuh bab kerjaya, kami berdua sangat profesional.

Menyentuh sedikit soal sambutan puasa dan raya tahun ini, apakah perbezaan yang anda rasai?

Bagi saya sama sahaja cuma saya sudah tidak beristeri, itu sahaja. Anak-anak masih ada dan saya tidak berasa terlalu kehilangan. Mungkin sudah terbiasa dengan kehidupan solo selepas bercerai. Tentang raya, saya belum berbincang dengan Vanidah, tetapi rasanya tiada masalah kerana dia juga akan beraya di Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post