Pilihan tepat Ajak




Hampir lima bulan mengundurkan diri dari dunia penyampaian radio, Ajak mengakui adakalanya merindui rutin harian yang sentiasa sibuk satu ketika dahulu.

Selama tiga tahun mengabdikan diri sebagai penyampai radio di stesen Hot FM, pemilik nama sebenar Mohd. Hanaffi Razak, 33, itu berkata, masanya terisi kepadatan rencana kerjaya.

Kini, biarpun jadual kerjaya tidak sepadat dahulu, Ajak bagaimanapun bersyukur rezekinya dalam industri masih terbuka luas.

Ramadan

“Tiga tahun dahulu ketika berkhidmat bersama Hot FM, rutin harian saya sangat padat termasuk pada bulan Ramadan.

“Tahun ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadan bukan sebagai penyampai radio. Terdapat perbezaan dalam sambutan Ramadan kali ini,” katanya memulakan bicara.

Mengimbau kenangan tiga tahun lalu, Ajak mengakui sukar untuk meluangkan masa bersama keluarga waima ketika pada bulan Ramadan.

Kali ini, barulah dia mula merasai kemanisan bulan mulia tersebut di samping keluarga.

Kerap berbuka puasa di rumah, kemudian membawa keluarga menunaikan solat Tarawih di masjid berdekatan, menjadi antara aktiviti yang amat dihargainya.

“Jika Ramadan sebelum ini, saya memberikan sepenuh komitmen bersama Hot FM. Jarang saya dapat berbuka puasa bersama keluarga, apatah lagi mencuri masa menunaikan Tarawih.

“Alhamdulillah, sekarang Allah izinkan saya untuk merasai nikmat yang telah lama saya rindukan,” luahnya dengan wajah penuh senyuman.

Rezeki

Sementelah menzahirkan rindu terhadap dunia penyampaian radio, Ajak ditebak soalan mengenai kesudian untuk kembali ke dalam industri.

Sekadar menggelengkan kepala, Ajak memperlihatkan ketegasannya untuk berehat dahulu buat sementara waktu.

“Saya ada menerima tawaran daripada dua stesen radio baru-baru ini. Kedua-dua tawaran itu terpaksa saya tolak,” kata Ajak yang kini bergelar artis naungan Warner Music.

Selain terikat dengan kontrak, dia juga mahu menumpukan perhatian terhadap penjenamaan kerjaya dalam bidang pengacaraan dan nyanyian.

Menolak tanggapan umum kononnya menolak rezeki dan tuah, ahli kumpulan lawak Shiro itu menegaskan penglibatannya dalam industri bukan untuk mengejar kekayaan.

“Saya telah terbiasa dengan baki akaun bank sebanyak RM12. Jadi, saya tidak pernah mempertikaikan soal rezeki kerana yakin dengan kurniaan Allah.

“Cuma saya sentiasa beringat membuat simpanan, terutama untuk anak-anak sebagai persediaan masa depan,” katanya.

Berkisar mengenai kerjaya, Ajak bakal tampil dengan sebuah single bertajuk Yang Mano sentuhan Altimet dan Ezra Kong.

Pada majlis berbuka puasa Ajak & Friends bersama anak yatim Yayasan Chow Kit di Hotel Aloft baru-baru ini, Ajak turut mempertontonkan secara eksklusif klip video lagu berkenaan.

Mengetengahkan lirik berunsur nasihat, klip video lagu Yang Mano dijangka menemui peminat sekitar Jun depan.

Mengulas mengenai penglibatannya sebagai penyanyi, Ajak pantas menyifatkan kehadirannya sekadar memeriahkan industri.

Menyedari kemampuan vokalnya tidak setanding vokalis sedia ada dalam industri, niat Ajak juga bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi.

“Saya mahu dilihat seperti Jalil Hamid, Salih Yaacob dan Zizan Razak. Saya sedar vokal saya tidak sehebat penyanyi masa kini,” luahnya.

Sungguhpun begitu, Ajak sempat berseloroh dia juga tidak dapat lari daripada memasang impian untuk berentap di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Memandangkan lagu tersebut digarap Altimet dan pemenang dua kali AJL iaitu Ezra Kong, tidak mustahil Yang Mano bernasib baik beraksi di pentas berprestij tersebut.

“Kalau ada rezeki apa salahnya. Siapa tidak mahu jika ada peluang,” selorohnya penuh pengharapan.

Pengacaraan

Selain kekal melunaskan tanggungjawab sebagai pengacara tetap Melodi, Ajak juga kembali bekerjasama dengan Astro menerusi sebuah program realiti.

Program realiti tersebut berkonsepkan pencarian bakat baharu industri pelawak melibatkan bakat cilik.

“Saya akan terbabit dengan sebuah program baharu terbitan Astro iaitu Raja Lawak Junior sebagai pengacara,” ujarnya.

Setelah tujuh tahun terbabit dalam industri hiburan, Ajak juga merasakan telah tiba masanya untuk terjun ke dunia penerbitan.

Meletakkan sasaran bergelar penerbit pada masa depan, Ajak menjadikan pengalaman sepanjang terbabit aktif di hadapan kamera sebagai pedoman ke arah tersebut.

“Sekarang saya sedang belajar untuk menjadi penerbit. Memandangkan usia semakin meningkat, saya sudah bersedia untuk bergerak di sebalik tabir pula,” katanya menutup bicara.

Ajak optimis kerjayanya bergerak lancar dan kini fokus menjenamakan diri sebagai penyanyi serta pengacara. Sebagai pelawak, dia juga mahu dilihat dalam skop versatil seperti Jalil Hamid, Salih Yaacob dan Zizan Razak.

Post a Comment

Previous Post Next Post