Erti tangisan raya Ariff Bahran




Baru berusia 21 tahun, penyanyi Ariff Bahran meluahkan rasa syukur apabila tahun ini dia berkemampuan untuk pertama kalinya menghulurkan duit raya kepada ahli keluarga.

Sejak kariernya berkembang terutama selepas menyertai program realiti Big Stage tahun lalu, Ariff atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari mengakui rezekinya semakin bertambah.

Oleh sebab itu, tahun ini dia mahu berkongsi rezeki dengan keluarga dan tidak sabar untuk mengagihkan duit raya untuk sepupu-sepupunya yang masih kecil.

Meskipun begitu, pelantun lagu Kata Akhirmu itu masih bersederhana dalam membuat persiapan supaya tidak berlaku pembaziran yang tidak sepatutnya.

Apakah perbezaan Ramadan dan Aidilfitri anda pada tahun ini?

ARIFF: Ramadan tahun ini, pastinya saya agak sibuk di studio bagi menyiapkan single yang akan dilancarkan selepas raya nanti. Tentang Syawal pula, saya sebenarnya agak teruja kerana tahun ini merupakan tahun pertama saya akan memberi duit raya kepada adik-adik dan sepupu yang lain.

Berapakah jumlah duit yang anda asingkan untuk duit raya?

Saya anggarkan sekitar RM500 hingga RM600 sahaja memandangkan saya cucu sulung dalam keluarga. Jadi, memang ramai sepupu yang masih kecil. Mungkin jumlah itu nampak sedikit tetapi bagi saya yang baru berusia 21 tahun, nilai itu sesuatu yang saya banggakan.

Bagaimanakah dengan persiapan raya tahun ini?

Saya seorang yang tidak suka berhabis untuk benda-benda yang sudah sedia ada. Jadi, persiapan juga sederhana sahaja. Menyentuh tentang baju Melayu, saya akan lihat sama ada baju lama masih elok atau tidak untuk dipakai. Saya tidak kisah untuk memakainya. Bagi saya, tidak semestinya perlu baju baharu untuk beraya. Apa yang penting ikatan kekeluargaan sewaktu berkumpul beramai-ramai di kampung halaman.

Bolehkah kongsi apakah aktiviti yang anda lakukan apabila pulang ke kampung?

Sangat teruja untuk balik ke kampung di Sungai Buloh, Selangor setiap kali raya kerana suasana raya di sana masih kuat terasa. Pada malam raya, saya menyediakan rendang dan membakar lemang. Seronok balik raya di kampung kerana orang di sana belum kenal sangat siapa saya sebagai penyanyi dan saya jadi bebas untuk pergi beraya ke mana sahaja.

Apakah reaksi anda setiap kali sesi bermaaf-maafan seisi keluarga?

Memandangkan saya jenis yang sukar untuk meminta maaf, jadi setiap kali memohon maaf dengan keluarga pada pagi raya, saya memang akan menangis. Sewaktu raya sahajalah saya menjadi lembut hati meminta maaf dengan semua orang. Keluarga memang tahu air mata jantan saya memang akan jatuh pada hari raya. Jadi, saya tidaklah malu menangis depan mereka.

Adakah anda merancang untuk membuat rumah terbuka?

Insya-Allah, ada juga terfikir untuk membuat rumah terbuka tetapi tarikh dan masa sahaja belum dipastikan. Doakan saya sentiasa dimurahkan rezeki untuk menganjurkan rumah terbuka dan bertemu dengan peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post