Noh Salleh selesa rakam lagu di Indonesia




Meskipun tidak mempunyai jawapan mengenai desas-desus perpecahan band Hujan, Noh memberitahu mereka bakal muncul dengan sebuah album baharu selepas sambutan Aidilfitri.

Jalur muzik Noh Salleh sebagai penyanyi solo cukup berbeza dengan genre yang dibawakan ketika bersama band Hujan. Menerusi projek solo perdananya yang dijayakan empat tahun lalu, eksperimentasi Noh lebih tertumpu pada muzik-muzik santai yang diinspirasikan daripada muzik pop Perancis, jazz dan funk.

Justeru, tidak hairan jika single Angin Kencang yang diterbitkan pada 2014 mendapat sambutan yang sangat luar biasa, baik dalam kalangan penggemar tempatan mahupun dari Indonesia.

Meneruskan muzik yang memberi justifikasi terhadap projek solonya, Noh kembali dengan single terbaharu berjudul Debu Bercahaya.

Namun, penghasilan Debu Bercahaya tidak semudah seperti yang disangkakan. Menurut Noh yang ditemui pada majlis pelancaran klip video versi karaoke single Debu Bercahaya di Redbox The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia mengambil masa yang agak lama untuk menerbitkan lagu tersebut.

Mengambil masa empat tahun untuk menerbitkan Debu Bercahaya, Noh berkata, projek solonya tergendala seketika kerana dia menghadapi masalah kewangan.

Dalam masa sama, Noh turut bercerita mengenai kisah di sebalik single tersebut yang ditulis berdasarkan kisah sahabat baiknya yang mengalami kemalangan jalan raya.

Mengapakah Noh mengambil masa hampir lima tahun untuk menerbitkan single Debu Bercahaya?

Noh Salleh: Mungkin ramai berpendapat golongan artis mempunyai wang yang banyak. Tidak kurang juga yang berpendapat, saya juga berkongsi kekayaan kerana berkahwin dengan orang yang berada. Tanggapan itu tidak benar sama sekali. Saya perlu mengeluarkan belanja sendiri untuk single kali ini.

Tidakkah tempoh tersebut agak lama untuk seseorang penyanyi melancarkan single kedua?

Benar, saya faham senggang masa lima tahun merupakan tempoh yang lama. Tetapi, ini merupakan projek saya sendiri.
Jadi, setiap aspek perlu saya perhalusi tanpa bantuan orang lain.

Bolehkah anda ceritakan maksud di sebalik lagu Debu Bercahaya?

Lagu ini ditulis berdasarkan kisah kemalangan jalan raya yang melibatkan rakan saya sekitar tiga tahun lalu. Mengimbau kembali keadaan isteri kepada rakan saya ketika kaki suaminya terpaksa dipotong, emosi saya tersentuh. Saya berasa sangat terharu dengan pengorbanan yang dibuat oleh isterinya. Saya jarang mendapat ilham pada usia sekarang. Jadi, saya lebih suka menulis lagu-lagu yang mempunyai maksud di sebaliknya.

Adakah lagu ini turut dirakamkan di Indonesia?

Ya, seperti Angin Kencang, saya rakamkan lagu ini di sana. Entah kenapa, hanya di Indonesia saya boleh mendapatkan muzik pop Perancis era-60 hingga 70-an. Tambahan pula, saya dibantu oleh kumpulan Sore, yang turut mempunyai jalur muzik yang sama dengan material solo saya.

Baru-baru ini dalam Instagram, gitaris AG memberi bayangan bahawa kumpulan Hujan bakal berpecah. Bolehkah anda memberikan sedikit komen mengenai perkara tersebut?

Sejujurnya, saya tidak boleh memberi komen mengenai hal ini. Jika inginkan kepastian, biarlah perkara tersebut datang sendiri daripada mulut AG.

Mungkin kami akan beri kenyataan di Pesta Raya, konsert Hujan dan Padi di Singapura pada 30 Jun nanti.

Apakah status band Hujan sekarang?

Maaf, saya memang tidak boleh memberikan jawapan. Namun, apa yang boleh saya katakan, Hujan sedang dalam pembikinan album baharu dan mungkin akan dilancarkan selepas hari raya nanti. Buat masa ini, AG sedang sibuk menguruskan kumpulan Masdo kerana dia adalah penerbit mereka. Jadi, kami berikan ruang kepada junior kami dulu.

Post a Comment

Previous Post Next Post