Mira Filzah dihimpit rasa tidak selesa




Awal bulan lalu, si cantik manis, Mira Filzah secara santai telah mengadakan perbualan secara langsung bersama peminat menerusi Instagram. Dalam sesi istimewa tersebut Mira terbuka menjawab apa sahaja pertanyaan peminat.

Antara soalan paling mendapat perhatian adalah pilihan panggilan Mira kepada teman istimewa iaitu ‘baby sayang’ sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, ayat gurauan pemilik nama Nur Amirah Filzah Badioezaman baru-baru ini terkait dengan satu kejadian kejam yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Seorang lelaki dilaporkan telah menembak monyet peliharaannya kerana haiwan itu tidak tahu mengucapkan ayat ‘baby sayang’ ketika disuruh berbuat demikian telah mengejutkan ramai pihak, termasuk Mira sendiri.


“Panggilan itu tidak salah kerana menggunakan perkataan yang baik untuk orang yang kita sayang.

“Cuma bagi kes tembak monyet baru-baru ini, saya rasa individu tersebut yang ada masalah sehingga sampai suruh haiwan sebut ‘baby sayang’,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Ruang, Subang Jaya, baru-baru ini.


Cukup

Dalam pada itu, Mira juga memohon agar peminat berhenti menularkan panggilan ‘baby sayang’ memandangkan panggilan tersebut sudah menjadi sesuatu yang menjengkelkan orang.

Mira juga mula didatangi rasa tidak selesa apabila sering ditegur dengan panggilan tersebut oleh sesiapa sahaja yang tidak dikenali sewaktu keluar bersiar-siar atau ke bazar Ramadan.

“Sekarang orang menganggap mereka diberi kebebasan memanggil saya ‘baby sayang’ walaupun mereka tidak pernah kenal saya. Ada juga yang merakam situasi berkenaan untuk dijadikan video gurauan.

“Itu yang membuatkan saya rasa cukup-cukuplah dengan ‘baby sayang’, rasanya kita sudah boleh teruskan kehidupan seperti biasa,” ujarnya tegas.

Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu bagaimanapun tidak berhasrat untuk berhenti membuat sesi langsung dengan peminat kerana beranggapan cara sebegitu adalah ruang interaksinya dengan peminat.

“Mungkin saya akan lebih berhati-hati selepas ini tetapi tidaklah untuk berhenti terus daripada membuat sesi langsung. Ini kerana keputusan itu tidak praktikal dengan kerjaya seni saya ketika ini,” jelasnya.

Fleksibel

Menyentuh soal kerjaya seninya, ketika ini khalayak semakin teruja menyaksikan gandingan serasi Mira dengan aktor kacak, Remy Ishak.

Sejak disandingkan dalam beberapa drama, keserasian yang terbina bagaimanapun ingin direhatkan seketika oleh kedua-dua pelakon itu.

“Bukan saya seorang yang berpendapat begitu, Remy pun berfikiran serupa kerana kalau asyik berlakon sama, nanti orang akan bosan.

“Keserasian memang bagus cuma tidak boleh terlalu kerap digandingkan. Biar peminat rindu menjadi rindu, namun sempena raya nanti, saya dan Remy tetap akan tampil menerusi Pujaan Hati Kanda Raya,” katanya lagi.

Wanita berusia 27 tahun sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan mana-mana pelakon senior atau junior selepas ini.

“Saya seorang yang fleksibel berhubung regu lakonan kerana percaya, setiap orang ada kelebihan masing-masing.

“Jika kita saling memberi dalam menjayakan watak, insya-Allah hasilnya akan menjadi yang terbaik,” luahnya menutup perbualan.

Semakin tidak selesa dengan gurauan ‘baby sayang’, Mira Filzah memohon peminat agar berhenti daripada menularkan pangilan tersebut dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Post a Comment

Previous Post Next Post