Neelofa positif dikritik Zahnita




SEJAK kebelakangan ini, golongan selebriti dilihat sering menggunakan platform media sosial untuk memberikan pandangan secara terbuka. Bagaimanapun, pandangan yang diberikan kadangkala bercanggah dengan pendapat umum, sekaligus mampu menimbulkan ‘sengketa’ terhadap pihak-pihak tertentu.

Terbaharu, model Zahnita Wilson mengkritik Neelofa di Instagramnya selepas pengacara program MeleTOP itu diumumkan secara rasmi sebagai duta bagi kempen Hari Raya Aidilfitri jenama barang kemas antarabangsa, Swarovski.

Menerusi kemas kini Instagramnya, Zahnita meminta supaya Neelofa berhenti berangan dan memikirkan keluarga-keluarga yang menderita di seberang gurun di lokasi penggambaran kempen tersebut.


Menerusi ruangan komen, kebanyakan netizen mempersoalkan tindakan Zahnita yang dilihat sengaja mencari perhatian. Namun, ada juga segelintir menyokong tindakan pelakon filem Kuliah Cinta itu.

Bertemu Neelofa pada majlis berbuka puasa Neelofa X Chatime di ibu kota baru-baru ini, pengusaha jenama tudung Naelofar Hijab itu diusulkan tentang kritikan yang dilontarkan oleh Zahnita.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor, 30, dia tidak marah atau terasa hati dengan kritikan yang ditulis oleh Zahnita.

Cuma, pelakon drama bersiri Red Velvet itu berharap jika kritikan tersebut disampaikan terus secara peribadi kepadanya.

Dalam pada itu, Neelofa turut berbicara mengenai kolaborasinya bersama Chatime bagi membangunkan kafe Chatime Singnature yang bakal menemui khalayak tidak lama lagi.

Neelofa, adakah anda menyedari Zahnita mengkritik anda di Instagram selepas kempen Swarovski diterbitkan?

NEELOFA: Pada mulanya, saya tidak tahu menahu mengenai isu ini, sehinggalah diberitahu rakan-rakan. Sejujurnya, saya tidak marah kerana saya faham mesej yang ingin disampaikannya. Cuma, lebih manis jika dia menghubungi saya secara peribadi atau pihak pengurusan untuk bercakap soal itu.

Apakah pandangan anda mengenai teguran dan kritikan yang dimuat oleh Zahnita naik secara terbuka?

Sebenarnya, perkara ini sudah biasa berlaku. Cuma disebabkan dia seorang selebriti, perkara itu menjadi isu. Bagus sebenarnya bila ada rakan selebriti yang mahu mengingatkan saya tentang beberapa perkara yang mungkin saya tertinggal.

Adakah anda akan berdepan dengannya untuk menyelesaikan masalah berkenaan?

Jika saya terjumpa dengannya, saya akan pergi kepadanya dan cuba untuk meneutralkan kembali keadaan. Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk berbuat demikian.

Bagaimanakah pula dengan reaksi pihak Swarovski?

Setakat ini, pihak Swarovski tidak mempunyai sebarang komen. Cuma, mereka gembira dengan sambutan kempen tersebut di Malaysia.

Beralih pula tentang kerjasama dengan Chatime, bolehkan anda kongsikan sedikit bagaimanakah tercetusnya idea untuk berkolaborasi membangunkan kafe Chatime Signature?

Saya memang suka minum teh bubble (bebola) sejak sebelum fenomena minuman tersebut melanda Malaysia. Jadi, apabila dicadangkan oleh pihak Chatime untuk berkolaborasi, saya tidak berfikir panjang.

Apakah keistimewaan kafe tersebut berbanding gerai Chatime lain?

Bezanya, kami bakal menyediakan menu makanan di samping variasi teh bebola yang tidak boleh didapati di gerai Chatime lain. Dalam masa sama, konsep Chatime Signature juga dibangunkan mirip dengan gaya harian saya. Jadi, setiap makanan dan sudut restoran boleh dijadikan subjek untuk gambar-gambar Instagram.

Bila dan di manakah kafe Chatime Signature berkenaan bakal dibuka?

Lokasi dan tarikh masih dalam perbincangan. Saya akan umumkan mengenai perkara tersebut dari semasa ke semasa.

Post a Comment

Previous Post Next Post