Kaka Azraff hamil empat bulan




Penyanyi, Kaka Azraff mengumumkan bahawa dirinya kini sedang hamil empat bulan selepas mendirikan rumah tangga pada Disember tahun lalu.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 30, berkongsi berita itu kepada umum selepas bersedia dan yakin bahawa kandungannya itu berada dalam keadaan sihat.

Melepasi semester pertama kehamilan, Kaka berkata, dia kini tidak lagi mengalami mabuk dan alahan yang teruk.

"Saya menyedari diri hamil selepas hampir pengsan ketika sedang memasak. Sepupu mencadangkan saya supaya melakukan ujian kehamilan dan keputusannya adalah positif.

"Saya sangat terkejut dan tidak sangka akan hamil. Pada masa yang sama, saya juga sangat bersyukur dengan anugerah ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Hotel Royal Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut pelantun, Bukan Hal Aku itu, biarpun sedang hamil, dia masih menjalani ibadah puasa mengikut kemampuan.

"Sejak hari pertama Ramadan baharu dua hari saya terpaksa bercuti. Sehingga hari ini saya masih berpuasa," katanya.

Kaka dan pasangan yang juga usahawan, Adam Azriff, 26, diijab kabul di Klang, Selangor pada Disember tahun lalu.

Jarak usia lima tahun antara mereka tidak menjadi penghalang Kaka memilih Adam sebagai pasangan hidupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post