Baby Shima tetap pendirian




Berkelana mengukir nama sebagai selebriti di negara orang bukanlah suatu perkara mudah, terutama jika adat dan budaya setempat tidak sama seperti di tanah tumpah darah sendiri.

Perkara tersebut dialami Baby Shima yang kini sedang mencipta nama di Indonesia selepas menyertai program realiti D’Academy Asia dua tahun lalu.

Adakala, dia perlu bertegas dalam beberapa perkara terutama dari segi imej pakaian kerana takrifan seksi orang Indonesia jauh berbeza berbanding di Malaysia.

“Mungkin kerana saya berstatus penyanyi dangdut, jadi penampilan saya perlu sentiasa kelihatan menarik perhatian dan menonjol sewaktu membuat persembahan.

“Banyak kali juga saya bertegas untuk tidak memakai sesetengah baju yang agak mencolok mata biarpun terpaksa bermasam muka dengan pereka fesyen di sana,” cerita wanita yang mesra disapa Shima itu sewaktu ditemui penulis pada majlis berbuka puasa anjuran Rusa Music di Tamu Hotel & Suites, di ibu negara baru-baru ini.

Jaga diri

Tambah pemilik nama Nor Ashima Ramly itu, dia bersyukur kerana syarikat pengurusan di sana tidak memaksa dan memahami pilihannya jika memilih untuk menolak sesuatu yang dianggap tidak bersesuaian dengan pendiriannya.

Bukan aspek pakaian sahaja yang memerlukan penapisan malah lagu-lagu yang ditawarkan kepadanya juga perlu didengar banyak kali untuk benar-benar memahami penulisan lirik.

“Dangdut Indonesia tidak sama seperti di Malaysia. Khalayak di sana tidak kisah meletakkan perkataan yang sedikit lucah atau mempunyai maksud tersirat. Jadi, saya perlu teliti dalam soal penerimaan lagu.

“Mujur syarikat pengurusan di sana faham dengan prinsip ini dan tidak pernah memaksa saya melakukan sebarang keputusan di luar keinginan,” jelasnya lagi.

Wanita berusia 27 tahun itu juga perlu memastikan berat badannya kekal sebanyak 45 kilogram (kg) agar wajahnya tidak kelihatan berisi setiap kali beraksi dalam program televisyen.

Tidak berasa tertekan dengan pengawalan berat yang agak ketat, Shima menyedari, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

“Saya pernah diberi amaran oleh pihak pengurusan supaya menurunkan berat badan kerana kelihatan gemuk dalam televisyen.

“Namun saya okey kerana apabila melihat kelibat sendiri dalam televisyen, memang agak berisi,” ujarnya sambil tertawa.

Rezeki

Menyedari penerimaan peminat yang lebih meluas di Indonesia berbanding Malaysia, bekas peserta program Big Stage itu bagaimanapun tidak pernah terfikir untuk menetap terus di negara republik tersebut. Dia masih mahu berkarya di negara sendiri.

Atas alasan sebegitu, dia sanggup berpenat lelah berulang alik dari Indonesia ke Malaysia memenuhi sebarang undangan. Shima menganggap, setiap peluang sebagai rezeki biarpun sedikit membebankan jadual hariannya.

“Memang penat kerana dalam sebulan hampir empat hingga lima kali saya akan terbang pulang ke Malaysia jika tugasan.

“Selagi mampu, saya akan cuba setakat yang boleh,” jelasnya.

Dek tenggelam timbul di tanah air sendiri, Shima cukup memahami hal tersebut membuatkan namanya tidak melekat dalam ingatan peminat tempatan. Bagaimanapun, Shima tetap menaruh harapan, suatu hari nanti populariti di Malaysia akan sehebat seperti di Indonesia.

“Peluang saya sekarang lebih banyak di Indonesia tetapi saya yakin, akan tiba masanya, perkara sama akan berlaku di Malaysia,” ulasnya tersenyum.

Post a Comment

Previous Post Next Post