Amylea Azizan mengakui tertekan mencari pengganti rakan duetnya, Kaer Azami untuk runut bunyi drama Nur 2, Tetap Kamu.
Penyanyi dan komposer Amylea Azizan berasa tertekan mencari penyanyi menggantikan pasangan duetnya, Kaer Azami yang menolak untuk bergandingan menerusi lagu berjudul Tetap Kamu.
Amylea, 33, mendedahkan dia nyaris menolak untuk menyanyikan lagu ini sekiranya gagal mendapatkan pengganti sebaik Kaer.
“Dua bulan sebelum, Kaer beritahu dia tidak dapat bersama untuk duet kali ini. Kalau dulu dengan Kaer, kami sudah ada keserasian dan suara kami juga ada tone yang sama. Megat pula betul-betul lain ibarat black and white.
“Kalau nak ikutkan masa Kaer beritahu dia tak dapat beri komitmen, saya sendiri cakap dengan komposer bahawa saya takkan nyanyi lagu ni jika tidak dapat cari pengganti yang unik dan sebaik Kaer.
“Saya mahu yang terbaik dan tak mahu tangkap muat sahaja,” katanya.
Megat Mentor 7 merupakan gandingan baharu Amylea untuk lagu berjudul Tetap Kamu.
Amylea ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video terbaharunya berjudul Tetap Kamu yang diadakan di Redbox Pavilion, Kuala Lumpur di sini, Isnin.
Tetap Kamu merupakan kesinambungan bagi lagu Tak Pernah Hilang yang menjadi runut bunyi (OST) untuk drama popular Nur 2 hasil ciptaan Farouk Roman manakala lirik oleh Amylea sendiri.
Kata Amylea, dia bagaimanapun menghormati keputusan Kaer dan memberi ruang buat penyanyi itu berehat selepas bekerja keras dalam pembikinan lagu Tak Pernah Hilang tahun lalu.
"Kaer seorang yang sangat kreatif dalam apa yang dia lakukan. Dia ada jenama baju dan syarikat rekaan dalaman sendiri. Mungkin tahun ini dia lebih nak fokus lebih untuk itu.
"Dia maklumkan tahun ni dia nak berehat sekejap, saya hormati keputusan itu," ujarnya.
Lagu Tak Pernah Hilang membawa tuah kepada Amylea apabila ia menjadi runut bunyi drama paling viral tahun lalu.
Bercerita lanjut mengenai gandingan dia dengan penyanyi baharu, Megat (Mentor 7) Amylea berkata protege Aizat Amdan ini memiliki bakat besar yang luar biasa membuatkan dia tidak bimbang untuk meneruskan nyanyian bersama.
"Kali pertama saya lihat Megat buat persembahan di Mentor Milenia, saya dapat rasakan dia bukan setakat menyanyi sebab nak jadi artis tapi dia nyanyi dengan ikhlas.
"Megat memiliki suara yang sangat kemas dan lunak yang dalam insustri sendiri belum ada. Walaupun Megat antara peserta yang tersingkir awal dalam Mentor, saya rasa saya perlu tonjolkan bakat dia kepada orang ramai," katanya.