Menurut Normah, dia tidak menyangka persembahan hiburan untuk tetamu itu mengundang perasaan kurang senang netizen sehingga keluarganya menerima kritikan hebat.
Dramatis veteren, Normah Damanhuri memohon maaf susulan majlis persandingan anaknya, Ahya Rosli yang mengundang penari separuh bogel menari dengan aksi tidak senonoh seterusnya mencetuskan perdebatan di laman sosial semalam.
Menurutnya, dia tidak menyangka persembahan hiburan untuk tetamu itu mengundang perasaan kurang senang netizen sehingga keluarganya menerima kritikan hebat.
“Saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua di atas kekhilafan pada majlis anakanda saya. Untuk pengetahuan semua, segmen membabitkan paper doll (mak nyah) itu sepatutnya tarian tradisional, 'miming', lawak jenaka dan gurau santai dengan tetamu ala-ala Bollywood.
“Tidak sangka pula, cara mereka berpakaian agak keterlaluan untuk majlis perkahwinan. Sekali lagi, saya sebagai wakil keluarga memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.
Normah membuat kenyataan itu menerusi muat naik video di akaun Instagramnya, petang tadi.
Semalam melaporkan pada majlis itu, seorang lelaki menyerupai wanita yang berpakaian separuh bogel menari dengan penuh ghairah semasa majlis persandingan itu yang dimuat naik oleh kakak Ahya, Liana Rosli menerusi Insta Story sehingga menjadi tular.
Rata-rata netizen terkejut dengan tindakan pengantin membenarkan tarian sebegitu dilakukan dalam majlis perkahwinan yang sepatutnya dipenuhi dengan perkara baik.
Sedangkan pada awal majlis bermula, ruang dewan dipasang alunan selawat Nabi sebelum kemudian disajikan dengan aksi-aksi tidak senonoh daripada penari terbabit.
Ahya yang merupakan anak pelakon Normah Damanhuri berkahwin dengan isterinya, Shahirah Sanusi pada 29 Mac lalu di Bukit Kiara Ekuestrian.