Keutuhan hati Mia Ahmad




Barangkali masih ada parut luka yang berbekas di hatinya. Mia Ahmad pantas mengalirkan air mata tatkala ditebak soalan berkaitan bahtera rumah tangganya yang pernah hampir tenggelam dek fitnah satu masa lalu.

Bergelar isteri kepada pemain bola sepak yang juga penjaga gawang gol sebuah kelab mega tempatan iaitu Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Izham Tarmizi Roslan mudah membuka ruang gangguan dek kehadiran orang ketiga dalam perkahwinan mereka.

Melalui gelombang ketika Mia masih dalam proses berpantang melahirkan anak sulung mereka, Sayf Issa yang kini berusia enam bulan, ternyata memberikan tamparan hebat buat pelakon yang terkenal menerusi drama Hati Perempuan itu.

Meneguhkan naluri kewanitaan apatah lagi kini bergelar, Mia memilih untuk kembali mempertaruhkan kepercayaan terhadap suami sekali gus mempertahankan mahligai yang berusia hampir dua tahun itu.

Mahu mengunci mulut dan seboleh-bolehnya enggan berkongsi mengenai kehidupan rumah tangganya, Mia yang ditemui semasa pelancaran drama Nur 2 baru-baru ini, akhirnya akur berkongsi kisah peribadinya sepanjang bergelut menyelamatkan perkahwinannya.


Apakah yang membuatkan anda menangis ketika ditanya mengenai keadaan terkini rumah tangga anda dan pasangan?

MIA AHMAD: Saya memohon maaf kepada semua kerana gagal mengawal perasaan. Bukan niat saya untuk mengalirkan air mata. Selepas memilih untuk bersama suami, saya mahu melupakan insiden yang pernah berlaku dalam rumah tangga kami.

Saya tidak mahu fikir atau mengingati kembali segala perkara masa lalu dalam rumah tangga kami. Perit untuk saya imbas kembali perkara itu.

Bagaimana hubungan anda bersama suami ketika ini?

Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik. Kami sedang membaiki hubungan dan menyambung semula setiap yang retak dalam perhubungan antara kami. Insya-Allah, saya yakin hubungan kami akan pulih dan bertahan dengan kehendak-Nya.

Apabila saya membuat pilihan untuk setia di sisi dia, saya mempersiapkan mental untuk lupakan setiap perkara yang pernah terjadi dan memulakan kehidupan baharu antara kami.

Kami pernah melalui fasa genting dan saya bersyukur dugaan itu membuatkan kami lebih mengenali antara satu sama lain. Sekarang adalah fasa kami untuk saling mengenali dan memahami. Kami bahagia.

Apakah yang memberikan anda kekuatan untuk kembali mempertahankan rumah tangga?

Sudah tentu keluarga terutama kedua-dua ibu bapa saya. Biarpun saya sedar mereka telah berusia dan tidak adil untuk mengetahui masalah rumah tangga kami pada ketika itu, tetapi saya perlu berkongsi untuk tidak berdepan dengan tekanan.

Sepanjang melalui dugaan berkenaan, saya banyak mendekatkan diri dengan Allah. Apabila perkara sebegini terjadi, saya kuatkan pegangan agama.

Saya bermuhasabah diri dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap Allah dalam menentukan hala tuju rumah tangga kami.

Adakah kehadiran anak membantu dalam proses tersebut?

Benar. Kehadiran anak amat membantu kami berdua dalam kembali menjalinkan hubungan mesra. Sayf Issa masih kecil pada ketika itu dan dia memerlukan kasih sayang daripada kami berdua.

Kami memainkan peranan masing-masing demi kepentingan anak. Kami akan bersama-sama menjaga Sayff sehingga dia besar. Kini saya mengerti ungkapan ramai pasangan di luar sana bahawa anak adalah pengikat rumah tangga.

Jika pada suatu hari perkara yang pernah anda hadapi kembali terjadi, apakah tindakan yang akan anda putuskan?

Sukar untuk saya memberi jawapan terhadap soalan ini kerana ini semua ketentuan Tuhan. Pada masa itu, mungkin Allah turunkan ujian kepada dia (suami), pada masa depan, mungkin Allah turunkan ujian yang sama kepada saya pula.

Sebagai manusia, kita tidak boleh mengawal ketentuan Tuhan. Tidak guna untuk saya memberikan amaran kerana jika ditakdirkan perkara ini berulang, saya tidak mampu menghalang.

Bagaimanapun, saya sedar sebagai manusia kita perlu bersandarkan kepercayaan kepada Allah. Jika kita terlalu menyayangi manusia, tidak kira suami, sahabat mahupun keluarga, mereka boleh melukakan kita. Allah tidak.

Adakah anda ingin menyampaikan amaran kepada mereka yang gemar memporak-perandakan rumah tangga orang lain?

Saya enggan memberikan amaran kepada sesiapa. Saya sedar perkara berkenaan luar kawalan manusia. Saya juga tidak mahu memberikan sebarang komen atau memaki golongan wanita yang gemar mendekati suami orang.

Perkara itu hanya sia-sia. Reaksi spontan saya terhadap isu berkenaan adalah normal. Sebagai manusia, saya berhak mempunyai perasaan marah. Saya memaafkan mereka kerana tiada gunanya menyimpan dendam.

Apakah nasihat anda kepada pasangan yang mungkin berdepan perkara yang sama?

Perkara paling utama ialah muhasabah diri dan kembali pada pegangan agama. Manusia pasti ditimpa dugaan, tetapi perbezaan antara sesama manusia ialah bagaimana kita menguruskan setiap ujian tersebut. Setiap perkara di dunia ini hanya pinjaman.

Post a Comment

Previous Post Next Post