Nabila berkongsi berita mengenai kegugurannya itu di laman Instagramnya sebentar tadi.
Impian pelakon popular, Nabila Huda Suhaimi, 36, untuk menimang cahaya mata tidak kesampaian apabila dia memberitahu dirinya mengalami keguguran anak keduanya pada hari ini.
Nabila yang baru sahaja merangkul anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) memberitahu berita tersebut menerusi kemas kini status di laman Instagramnya sebentar tadi.
“Saya sebenarnya ingin berkongsi satu rahsia kepada semua iaitu baru-baru ini saya telah disahkan hamil selepas empat tahun menanti.
“Namun begitu, saya telah mengalami pendarahan yang teruk sehingga ke hari ini (Isnin) dan apabila saya ke klinik untuk membuat pemeriksaan, kandungan saya telah disahkan gugur,”tulisnya pada status tersebut.
Mengakui dirinya berasa sedih dengan kehilangan itu, pelakon Munafik 2 itu bagaimanapun reda dengan ketentuan Allah S.W.T.
“Ketika mula-mula mendapat tahu saya positif hamil, kami sekeluarga sangat gembira namun mungkin bukan rezeki lagi untuk saya dan suami menimang cahaya mata.
“Tidak mengapa, saya akan gunakan masa ini untuk terus berbulan madu dahulu sepenuhnya,”ujarnya lagi.
Nabila dan suaminya, Mohd Izwan Johar bernikah pada Jun 2015 selepas dua tahun berkenalan.
Nabila yang juga anak kepada legenda Rock Amy Search turut memiliki seorang anak perempuan, Keisha Laila yang berusia sembilan tahun hasil perkahwinan pertamanya.