Masalah cinta jejas momentum kerjaya Farhan Asri




Pelakon Farhan Asri mengaku dirinya bergelut dengan masalah cinta hingga menjejaskan momentum kerjaya seni lakonannya.

Farhan yang terkenal menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek di Astro Ria berkata, selepas hubungan cinta dengan bekas kekasih terlerai awal tahun ini, dia kini bersedia untuk mengatur langkah dalam membina nama sebagai pelakon.

“Saya mahu fokus untuk diri saja tahun ini. Lebih baik sayangi diri sendiri dan peroleh kejayaan dalam bidang seni lakonan terlebih dulu.

“Saya akui ambil masa untuk kembali fokus dengan kerjaya. Namun kali ini saya bertekad mewarnai industri seni kerana sudah mula rindu untuk kembali ke set penggambaran drama,” katanya.

Menurut pemenang tempat kedua Hero Remaja 2017 itu, selama menyepi dalam dunia lakonan dia berdepan tekanan selepas cinta yang dibina hampir setahun berakhir dengan perpisahan, namun dia tetap positif dan menganggap ada hikmah di sebaliknya.

Katanya, dia percaya setiap yang berlaku dalam hidup ini pasti ada hikmah di sebaliknya dan pengalaman yang akan mendewasakan.

“Jujur selepas drama Cik Reen Encik Ngok Ngek melabuhkan tirai tahun lalu, kerjaya saya sedikit perlahan kerana hilang arah dan buntu.

“Siapa yang tak sedih apabila perkenalan hampir empat tahun dan bercinta selama setahun putus di tengah jalan.

“Tapi tak mengapalah mungkin ini petunjuk untuk saya lebih memberi fokus kepada kerjaya lakonan dan mencari rezeki terlebih dulu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post