Khai Bahar tak tergamak tipu peminat nyanyi miming




Khai akan tetap menyanyi secara langsung biarpun ketika itu kesihatan tidak mengizinkan.

Penyanyi Khai Bahar tidak akan sekali-kali menggunakan kaedah miming ketika membuat persembahan secara langsung walaupun berhadapan masalah kesihatan.

Menurut Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 25, perbuatan itu boleh dianggap tidak jujur lebih-lebih lagi jika ia merupakan persembahan berbayar.

"Bagi saya seseorang penyanyi itu tidak patut menggunakan minus one yang ada suara atau miming ketika membuat persembahan.

"Mereka datang sebab nak melihat persembahan terbaik daripada penyanyi kesayangan. Kesian orang datang bayar nak tengok saya menyanyi.

"Bukan nak tunjuk hebat, tapi saya akan menyanyi live biarpun ketika itu suara atau kesihatan tak berapa baik," katanya kepada mStar Online.



Khai mahu memberi yang terbaik untuk peminatnya.

Khai Bahar ditemui ketika sidang media Trio Consert Tour 2019 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Luluh ini berasa teruja bakal bergandingan dengan Wany Hasrita dan Sufian Suhaimi menerusi konsert jelajah yang akan bermula Julai depan.

Menurut Khai, dia perlu memilih lagu yang sesuai untuk berduet kali pertama bersama Sufian.

"Memang amat teruja apabila ditawarkan untuk berkongsi pentas bersama rakan baik iaitu Wany dan Sufian menerusi konsert yang boleh dikatakan berskala besar.

"Pemilihan lagu masih dalam perbincangan tapi setiap orang akan menyanyikan empat buah lagu sendiri, dua lagu duet dan mungkin satu lagu gabungan kami bertiga.



Khai, Wany dan Sufian bakal berkongsi pentas menerusi Trio Concert Tour 2019.

"Tapi yang buat saya lagi teruja sebab pertama kali ini nak berduet dengan penyanyi lelaki. Sebab itu, pemilihan lagu sangat penting.

"Kena pilih lagu yang bersesuaian dengan saya dan Sufian. Yang pasti, konsert itu akan memberi kelainan dan peminat akan berasa seronok," ujarnya.

Konsert tersebut akan diadakan di empat lokasi iaitu Johor Bahru pada 13 Julai dan lokasi seterusnya di Kuantan pada 17 Ogos depan.

Manakala pada 5 Oktober depan, tiga penyanyi ini akan bertemu peminat mereka di Alor Setar, Kedah dan lokasi terakhir di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2 November depan.

Tiket bermula dengan harga RM67, RM107, RM200 dan Rm400 sudah mula dijual menerusi platform e-dagang terkenal, Shopee.

Post a Comment

Previous Post Next Post