Erra Fazira Manusia tidak jahat selamanya




Erra seru masyarakat tidak mudah jatuh hukum berkenaan isu buka tudung.

Primadona filem Melayu, Erra Fazira menyeru kepada orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan kritikan terhadap isu yang kian meruncing iaitu trend buka tudung dalam kalangan selebriti wanita tempatan.

Kata Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 45, setiap manusia di dunia ini diuji dengan ujian yang berbeza-beza dan tidak berhak untuk menjatuhkan hukum atas sesuatu perkara.

"Tidak kisahlah selebriti zaman sekarang atau zaman saya dahulu, setiap manusia diuji dengan dugaan daripada Allah yang berbeza-beza.

"Mungkin ada sebab mengapa seseorang wanita itu membuat keputusan untuk tidak lagi bertudung. Kita ingin menghentam dengan kata-kata atau menjatuhkan hukum pun, kita sendiri tidak berada di tempat mereka.

"Bagi saya, mungkin seseorang selebriti wanita itu bukak tudung kerana hanya dia yang faham. Antara dia dengan Tuhan. Kita doakan sahaja yang terbaik agar urusannya dipermudahkan," kata pelakon filem Polis Evo 2 itu ketika ditemui pada acara pelancaran koleksi hijab eksklusif Soffearose, The Primadona Series Erra Fazira di sini sebentar tadi.

Erra turut tidak menafikan zaman sosial media sekarang cabarannya lebih hebat berbanding buat golongan selebriti kerana semuanya seperti di hujung jari.

"Zaman saya dahulu pun ada sahaja selebriti wanita yang buka tudung namun kerana kerana tiada platform seperti sosial media untuk berbalas-balas komen atau hentam-menghentam, ia tidak menjadi sesuatu yang heboh diperkatakan.

"Manusia tidak jahat selamanya. Siapa kita untuk meletakkan hukum atas sesuatu perkara.

"Bukan mudah untuk istiqamah dalam bertudung. Iman kita kadang-kadang berada di atas, kadang-kadang di bawah namun jangan pernah putus doa kepada Allah," terang Erra.

Dalam pada itu, ditanya selebriti yang menjadikan alasan berdepan masalah kemurungan atas suatu tindakan, Erra mempunyai pandangan tersendiri.

"Jangan buat main-main masalah mental atau kemurungan. Ia memang wujud dan boleh berlaku kepada sesiapa.

"Saya sifatkan mereka yang menggunakan alasan kemurungan untuk tujuan gimik sebagai tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat. Mereka tidak matang," jawab bekas Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post