Andi Bernadee hampir gila




Hampir lima tahun bergelut menempa nama dalam industri, penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, Andi Bernadee mampu menarik nafas lega apabila namanya kian meniti di bibir khalayak.

Terjun ke lembah industri bersandarkan sebuah lagu berentak balada, Tiada Maaf Bagimu, kemudian sebuah lagu saduran bertajuk Semalam Sahur Di Mana? penyanyi menginjak usia 28 tahun itu masih samar-samar untuk meraih kedudukan selesa dalam industri.

Sehinggalah pada penghujung tahun lalu, ternyata tuah lagu bertajuk Satu Peluang yang mempertaruhkan rentak reggaeton dan Latin berjaya meledakkan namanya menjadi antara penyanyi lelaki kegemaran khalayak khususnya, golongan muda.

Momentum pemilik nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile berterusan dengan buah tangan baharu bertajuk Donde.

Mengekalkan elemen Melayu dengan suntikan muzik Latin, formula Andi berjaya apabila Donde mencatatkan rekod 2.7 juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 10 April lalu.

Ironinya, di sebalik kejayaan yang dikecapi, Andi sedikit pun tidak menunjukkan riak berpuas hati atau berbangga dengan pencapaian.

Ditemui pada majlis pelancaran klip video rasmi Donde di sebuah pusat beli belah di Damansara baru-baru ini, Andi berkongsi alasan tersendiri untuk tidak kekal berasa selesa dengan kejayaan lagu berkenaan.

“Donde sebenarnya amat bermakna dalam kerjaya muzik saya. Melalui lagu ini saya akhirnya menemui identiti diri.

“Jika Satu Peluang adalah sebuah lagu pengenalan kelahiran semula Andi Bernadee dalam industri, Donde pula adalah diri sebenar saya,” ungkapnya.

Merayu

Menyingkap liku yang dihadapi sepanjang mencari identiti diri, penyanyi bawah label Warner Music itu berkata, dia hampir menghentikan langkah daripada meneruskan impian bergelar penyanyi.

Enggan menyalahkan takdir, jauh di sudut hati bekas peserta Big Stage Budak Baru Nak Up (BBNU) musim pertama itu pernah terfikir bahawa rezekinya tidak tertulis untuk menjadi seorang artis.

Mempunyai sebuah perniagaan yang memasarkan produk kesihatan, Andi berkata, dia tekad mahu menumpukan perhatian terhadap syarikat yang telah diusahakan.

“Saya tidak mempunyai masalah untuk tidak menjadi penyanyi kerana saya sudah memiliki perniagaan. Pada ketika itu saya fikir Allah telah menetapkan rezeki saya bukan dalam industri seni.

“Bagaimanpun, hasrat tersebut terbatal setelah saya mendapat lagu Satu Peluang,” luahnya.

Demi memastikan Satu Peluang menjadi miliknya, dia secara peribadi merayu kepada pihak syarikat rakaman untuk memberikannya satu peluang terakhir sebelum berundur.

Tuah milik Andi apabila syarikat bukan sahaja memberikan peluang buatnya, malah dia turut terbabit secara tidak langsung dalam penghasilan lagu tersebut.

“Sebagai manusia, sudah tentu kita kecewa apabila impian gagal dilaksana. Saya secara peribadi merayu kepada label untuk merakamkan lagu Satu Peluang. Alhamdulillah Satu Peluang diterima baik,” katanya.

Eksperimentasi

Kembali berbicara mengenai kerjaya, ternyata penyanyi itu mempunyai ideologi berbeza dalam usaha menempatkan diri untuk bersaing secara positif dengan angkatan penyanyi BBNU lain.

Berbanding memenuhi permintaan khalayak, Andi selesa bereksperimentasi dengan genre muzik unik supaya dirinya mendapat tempat dalam dunia seni.

Sementelah meminati aliran muzik reggaeton dan percaturannya menerusi Satu Peluang menunjukkan hasil memberangsangkan, Andi mahu kekal mempertahankan genre tersebut dalam kariernya.

“Pada awal pembabitan sebagai penyanyi, saya sekadar mengikut aliran muzik semasa. Kenapa saya perlu menyanyikan lagu balada sedangkan masih ramai penyanyi lebih hebat mampu mengalunkan genre tersebut.

“Oleh sebab itu, saya memilih reggaeton kerana membawa aliran baharu dan unik,” katanya.

Ketika ditebak, adakah dia merancang memasarkan diri ke peringkat antarabangsa, Andi berkata: “Saya bukan mahu jadi artis antarabangsa sebaliknya hanya ingin mencuri perhatian peminat di mana sahaja bahawa Malaysia mempunyai elemen muzik berbeza,” ujarnya.

Kembali berkongsi mengenai single baharunya iaitu Donde, Andi mengakui hampir ‘gila’ mengamati lagu ciptaan Aliff Magic Potions tersebut saban hari untuk menggali perasaan yang tersirat dalam melodi dan liriknya.

Asalnya menggunakan tajuk Ke Mana, judul lagu berkenaan kemudian ditukar menjadi Donde sewaktu proses rakaman. Tambah Andi, biarpun sarat nuangsa rancak tetapi Donde memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.

“Pertama kali mendengarnya, lagu ini telah bermain dalam fikiran saya hampir setiap hari. Sehinggakan jika mendengar muzik lain, melodi Donde tetap bermain dalam fikiran. Sukar untuk mengeluarkan melodi Donde dari benak fikiran saya. Lagu ini sangat psiko,” akuinya.

Bercerita lagi tentang klip video Donde, Andi mendedahkan sepanjang pembikinan, dia turut mengalami kecederaan sewaktu berada di lokasi.

Penggambaran yang berlangsung di Tanjung Karang, Selangor terbitan MTAS Production arahan Azfar Hamidi itu mengambil masa selama dua hari untuk disiapkan.

“Terdapat satu babak saya diikat dengan rantai besi seberat 30 kilogram setiap satu lilitan. Ada empat lilitan semuanya. Tamat rakaman, badan saya lebam. Ini adalah pengalaman klip video paling mencabar buat saya,” tutupnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post