Aman Nassim Serba salah nak nikah, abah tenat




Pelakon dan penyanyi, Aman Nassim, 29, berdepan ujian sangat berat apabila bapanya, Nasim Haron kini dilaporkan tenat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, hari ini.

Situasi itu kurang seminggu daripada tarikh akad nikah Aman dan pasangannya, Baizura Ghani yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

"Abah dimasukkan ke wad pada Sabtu lalu untuk menjalani rawatan darah kerana dia menghidap kanser.

"Tapi pada kelmarin, saya dapat panggilan daripada keluarga memberitahu abah menyuruh saya pulang ke Johor Bahru dengan segera.

"Ketika mendapat panggilan itu, saya sudah rasa tak sedap hati dan sebaik saja tiba di hospital semalam, doktor memberitahu kuman sudah merebak cepat ke dalam saluran darah," katanya.

Penyanyi lagu Tunjukkan Ku Bintang ketika dihubungi berkata, bapanya sempat bertanya mengenai persiapan perkahwinan sebaik saja tiba di hospital.

Kemudian, bapanya hanya memberi jawapan bagus dan mengangkat ibu jari selepas memberitahu segala persiapan sudah selesai.

"Setengah jam selepas perbualan itu, abah terus lemah dan doktor terpaksa memberikan alat bantuan pernafasan sehingga ke hari ini.

"Doktor kemudian memberitahu tahap 'survivor' abah hanya dalam lima peratus dan terpaksa menahannya di dalam inkubator," katanya.

Disebabkan dugaan menimpa, dia kini buntu sama ada mahu meneruskan majlis perkahwinan pada Sabtu ini atau tidak.

Katanya, jika keadaan memaksa dia mungkin hanya meneruskan majlis akad nikah saja pada sebelah pagi Sabtu, manakala majlis resepsi pula ditunda ke tarikh lain yang dirasakan sesuai.

"Ahli keluarga lain menasihati supaya tetap meneruskan perkahwinan walau apa pun yang berlaku," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post