Shuk Sahar mohon maaf




“Saya memohon maaf sekiranya apa yang disampaikan menyinggung mana-mana pihak,” kata penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar yang didakwa tidak sensitif dengan nasib penduduk Pasir Gudang yang menjadi mangsa pencemaran sisa kimia berbahaya.

Dakwaan berkenaan timbul apabila Shuk yang juga seorang penyampai segmen Geng Pagi Hot FM (GPH) menjadikan musibah itu sebagai bahan jenaka dengan berkata ‘kenapalah konti kita bukan dekat Johor, kalau tidak mesti dah cuti’.

Bagaimanapun, rata-rata warganet mendakwa penyampai radio yang tidak sensitif itu adalah Shuk dan mulai menyerangnya di akaun Instagram peribadi pelawak itu serta Hot FM.

Insiden itu berlaku ketika GPH menghubungi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi berkongsi perkembangan sesi persekolahan di kawasan berkenaan mengakibatkan 111 sekolah terpaksa ditutup.

“Segala teguran saya ambil sebagai pengajaran untuk sentiasa memperbaiki kekurangan yang ada.

“Saya sentiasa mendoakan supaya semua warga Pasir Gudang berada dalam keadaan selamat dan sama-sama berharap musibah ini akan berakhir dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Hot FM dalam kenyataan bertulis memaklumkan, mereka mengambil serius dan menghargai aduan yang diterima daripada pendengar berkenaan isu (GPH) dan situasi yang berlaku di Pasir Gudang.

“Kami memohon maaf sekiranya isi kandungan GPH pagi ini menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan orang ramai.

“Kami akan terus memperbaiki penyampaian dan ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pendengar. Teguran dan sokongan anda amat kami hargai,” tulisnya.

Pihak Hot FM turut mendoakan supaya semua yang terkesan berada dalam keadaan selamat dan tabah menghadapi musibah itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post