Penyatuan vokal Misha, Sarah dan Noryn




Tiga figura yang memiliki kemampuan vokal tersendiri digabungkan dalam sebuah pentas yang sama iaitu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April depan. Tiga individu yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz.

Ketiga-tiga penyanyi hebat itu bakal menggegarkan panggung berprestij tersebut melalui penganjuran konsert yang diberi judul Konsert Soul Sisters 2019 anjuran Edd Razhe Entertainment.

Biarpun persiapan sedang hangat dilakukan, namun dikhabarkan penjualan tiket konsert tersebut kurang memberansangkan. Menjawab tentang perkara tersebut Pengarah Urusan Edd Razhe Entertainment, Edd Razhe memberitahu, sehingga artikel ini ditulis, lebih 70 peratus tiket sudah terjual.

“Alhamdulillah, lebih 70 peratus tiket sudah terjual setakat ini. Berbaki kurang dua minggu sebelum konsert berlangsung, penjualan tiket semakin laris,” kata Edd ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar konsert berkenaan baru-baru ini.

Membocorkan sedikit tentang perjalanan konsert nanti, Edd, Misha, Sarah dan Noryn sepakat dengan idea mempersembahkan semula lagu dendangan asal kumpulan pop wanita era 1990-an, Feminin.

“Mereka akan menyanyikan lagu tribute buat Feminin. Lagu yang akan didendangkan adalah Rindu, Kini dan Untukmu.

“Lebih menarik, Feminin juga akan datang pada hari konsert bertarikh 5 April nanti,” kata Edd.

Disuakan pertanyaan tentang persediaan konsert, Misha, Sarah dan Noryn kini giat mempersiapkan stamina dan berharap, dikurniakan tahap kesihatan terbaik demi memberikan persembahan cemerlang.

Persediaan

“Paling penting adalah stamina. Konsert ini agak berbeza kerana menggabungkan kami bertiga. Cuaca sekarang juga panas dan mudah untuk kami jatuh sakit.

“Selain itu, selalu perlu bersenam dan berlatih vokal bersama. Insya-Allah, pada malam konsert nanti, kami bertiga akan memberikan sehabis baik,” tutur Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abdul Aziz, 42.

Hal sama turut dipersetujui Sarah. Kata penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan itu, latihan menyanyi secara bersama kerap dilakukan bagi mencipta keserasian di atas pentas.

Misha juga tidak putus harapan dan berdoa agar diberikan kesihatan yang baik demi melunaskan sebuah persembahan sempurna.

“Mudah-mudahan kami bertiga diberikan kesihatan yang baik supaya dapat memberikan konsert yang sempurna. Bab pengurusan vokal, kami bertiga beruntung kerana diberi peluang bekerjasama dengan Datuk Syafinaz Selamat yang bertindak sebagai pengarah vokal,” kata Misha.

Kerjasama

Bekerja dengan Syafinaz, Misha menjelaskan wanita itu merupakan seorang guru yang amat tegas terhadap anak didiknya.

“Saya pernah bekerja dengan beliau. Nasihat saya, jangan bagi beliau bangun dari tempat duduk. Kalau itu berlaku, bermakna ada sesuatu yang tidak kena (ketawa).

“Satu penghargaan bekerja dengan beliau kerana disebabkan tunjuk ajarnya, saya mampu kembali menyanyi selepas insiden tiada suara pada tahun lalu,” katanya yang mendapat khidmat Syafinaz ketika bertanding dalam Anugerah Juara Lagu Ke-33 awal tahun lalu.

Tidak hanya Misha, Noryn sebenarnya terlebih dahulu berguru dengan Syafinaz sewaktu menuntut di universiti suatu ketika dahulu.

“Beliau memang seorang yang garang. Saya bersyukur kerana dapat bekerja semula dengannya,” kata Noryn.

Ditanya apakah perkara paling utama yang ingin ditonjolkan pada malam persembahan, Misha pantas menyebut satu istilah iaitu kebersamaan.

“Kami tidak boleh pentingkan diri sendiri dalam konsert ini. Tiada istilah seorang sahaja yang menyerlah. Perlu ada semangat kebersamaan.

“Konsert akan gagal jika seorang sahaja yang menyerlah atau dua orang yang menonjol daripada segi persembahan. Kebersamaan itu penting barulah akan terhasil magis pada malam konsert nanti. Insya-Allah,” jelas pelantun lagu Sampai Bila itu.

Meskipun setiap penyanyi akan diberi peluang untuk menyanyi lagu identiti masing-masing secara solo, Syafinaz berkata, apa yang menjadi fokus untuk konsert adalah nyanyian secara bertiga.

“Peratusan mereka menyanyi lagu secara solo tidak banyak. Memang ada segmen nyanyian solo, namun saya akan pastikan mereka tidak berlebih-lebihan,” kata Syafinaz.

Ditanya lagu manakah yang paling mencabar untuk dinyanyikan secara bertiga, Syafinaz enggan memperincikan perkara tersebut.

“Mungkin lagu kedua terakhir kerana terdapat tiga buah lagu akan digabungkan menjadi sebuah karya. Bagaimanapun, saya masih belum boleh mendedahkan lagu tersebut,” kata Syafinaz.

Berbalik kepada Misha, Sarah dan Noryn, mereka menjelaskan tidak sukar untuk mencapai keserasian di atas pentas.

“Muzik akan menyatukan kami walaupun memiliki suara berbeza. Kita perlu menyanyi dengan semangat berpasukan yang tinggi.

“Jika sebelum ini kami menyanyi tanpa mematuhi peraturan, tetapi dalam konsert kami perlu mengikut rukun nyanyian yang sebenar,” jelas Sarah.

Buat peminat yang ingin menyaksikan Konsert Soul Sisters 2019, tiket masih boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com pada harga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver).

Berbaki lebih kurang dua minggu sebelum Konsert Soul Sisters 2019 berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April depan, tiga penyanyi hebat, Misha, Sarah dan Noryn giat mempersiapkan diri baik dari segi mental serta fizikal.

Post a Comment

Previous Post Next Post